PKP 2.0: Jangan cakap kerajaan tiada pelan | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0: Jangan cakap kerajaan tiada pelan

PKP 2.0

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Pelbagai persoalan dan teka-teki berkaitan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ditimbulkan masyarakat.

 

Ada yang mendakwa PKP 2.0 akan terus dilanjutkan lagi selepas 4 Februari nanti kerana purata kes jangkitan harian masih tinggi melebihi 3,000 kes.

 

Ada juga yang berpegang kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bahawa PKP 2.0 tidak akan dilanjutkan tetapi besar kemungkinan akan diteruskan dengan PKPB.

 

Persoalan yang dibangkitkan itu pastinya bukan sekadar borak-borak kosong di kedai kopi atau 'membawang' di kawasan kejiranan, tetapi demi kebimbangan masyarakat sama ada terus terkesan dengan impak PKP atau kembali menghirup udara kehidupan normal.

 

Dalam sidang media harian PKP semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai reaksi timbul apabila dimaklumkan bahawa ada kemungkinan PKPB dilaksanakan di seluruh negara.

 

Seperti dijangka, ada yang tidak bersetuju dan ramai juga yang bersetuju.

 

Jelas beliau, ramai yang tidak bersetuju sekiranya PKP akan diteruskan secara penutupan penuh (total lockdown) terutamanya mereka yang berniaga.

 

Peniaga-peniaga mikro yang berniaga 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' amat bergantung kepada pendapatan harian untuk meneruskan kehidupan.

 

Tambah Ismail Sabri, kerajaan juga melihat keperluan dan kesan secara menyeluruh sebelum membuat sesuatu keputusan.

 

"Benar, kita mahu menjaga kesihatan rakyat, tetapi dalam masa yang sama kita juga mahu melindungi kepentingan rakyat terutamanya golongan miskin, peniaga mikro, peniaga kecil di tepi jalan yang terpaksa bergantung kepada pendapatan harian.

 

"Sekiranya dikuatkuasakan PKP menyeluruh, sudah pasti akan menjejaskan golongan tersebut," jelas beliau semalam.

 

Pandangan Ismail Sabri itu turut dipersetujui Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed.

 

Jelasnya, kelonggaran itu amat diperlukan bagi golongan penjaja dan peniaga kecil demi 'survival' mereka.

 

"COVID-19 ini mungkin berlanjutan hingga empat ke lima tahun atau lebih singkat, namun tidak wajar untuk kita laksanakan total lockdown.

 

"Kita sebagai peniaga turut terkesan, ramai ahli perniagaan yang tidak dapat berniaga seperti di pasar malam.

 

"Apa yang perlu sekarang ini ialah tahap pematuhan masyarakat terhadap arahan semasa dan SOP yang dikeluarkan," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Mohamed Zamri Mohammed.
Mohamed Zamri Mohammed

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, adalah tidak wajar dan tidak betul sekiranya ada pihak yang mengatakan bahawa kerajaan kini tidak mempunyai pelan pelaksanaan PKP.

 

Katanya, hampir setahun seluruh masyarakat termasuk kerajaan telah belajar daripada pelaksaan PKP kali pertama tahun lalu.

 

Disebabkan itu jugalah, kerajaan bertindak untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi penting untuk terus beroperasi.

 

"Walaupun PKP dibuat sejak 13 Januari baru-baru ini, sebahagian besar perniagaan dibenarkan untuk beroperasi.

 

"Kalau nak cakap kerajaan tak ada perancangan, itu memang tidak betul. Sebelum ini kerajaan dah belajar banyak benda dan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari sepanjang PKP.

 

"Kerajaan memang berat hati, tapi dalam masa yang sama kerajaan tidak mampu untuk terus menanggung kerugian tersebut," luahnya lagi.

 

Seramai 2.8 juta rakyat juga berisiko hilang pekerjaan, sementara 2.5 juta pekerja terjejas pendapatan dan sukar meneruskan kelangsungan hidup sekiranya PKP 2.0 terus dilanjutkan.

 

Nasib kumpulan B40 turut terganggu dan akan kehilangan pendapatan dalam tempoh sebulan yang dianggarkan RM6.45 bilion dengan purata RM2,400 bagi setiap keluarga.

 

Dalam pelaksaan PKPB mulai Mei tahun lalu, kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti perniagaan di pasar malam.

 

Susulan itu, sekiranya benar PKPB akan dilaksanakan bagi menggantikan PKP 2.0, Mohamed Zamri berharap agar sedikit kelonggaran diberikan berhubung perkara tersebut.

 

Katanya, kelonggaran tersebut sangat membantu pendapatan golongan peniaga kecil menjelang tempoh sambutan Ramadan dan sambutan hari raya.

 

Pasar malam

 

"Sebelum ini sewaktu PKP pertama, memang pasar malam tak dapat beroperasi, dan PKPB juga masih tidak membenarkan operasi pasar malam. Dan PKPP mulai Jun barulah pasar malam dibenarkan.

 

"Jadi besar harapan kami agar PKPB kali ini, kerajaan dapat membenarkan operasi pasar malam tanpa perlu menunggu PKPP tiba.

 

"Kita tahu risiko jangkitan sekiranya lebih ramai orang datang dan berkumpul, cuma kita tekankan agar orang ramai dapat mematuhi SOP dan arahan semasa, yang mana arahan ini sebenarnya telah lama diamalkan dalam kalangan peniaga," jelasnya lagi.

 

Dalam Islam sendiri menuntut kepada konsep 'syura' iaitu perbincangan atau mesyuarat yang menyeluruh dalam membuat atau memutuskan sesuatu perkara.

 

Sama juga dengan pelaksanaan PKP, apa jua keputusan yang diputuskan dan diambil kerajaan perlu dipertimbangkan antara keperluan menjaga kesihatan dan keperluan menjaga ekonomi.

 

Bahasa mudahnya, kesihatan rakyat adalah nombor satu, ekonomi pula bukan nombor dua. - DagangNews.com