PKP 2.0 jejaskan pendapatan IGB REIT | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0 jejaskan pendapatan IGB REIT

IGB REIT

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Kesan ekonomi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 turut dirasai oleh Amanah Pelaburan Hartanah (REIT).

 

MIDF Research berkata, PKP 2.0 dijangka memberi kesan buruk kepada prestasi pendapatan IGB Amanah Pelaburan Hartanah (REIT), IGB REIT bagi tempoh tahun kewangan 2021 kerana sesetangah penyewa tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh tersebut.

 

"Selain itu, kami menjangkakan jumlah pembeli menjadi rendah pada suku pertama tahun kewangan 2021 susulan peningkatan jumlah kes COVID-19 di Malaysia.

 

"Senario itu akan mengurangkan pendapatan sewa IGB REIT kerana perolehan sewa dikumpul melalui penyewa berasaskan makanan dan minuman.

 

"Oleh itu, kami membuat semakan semula terhadap ramalan pendapatan tahun kewangan 2021 kepada -7.9% bagi mencerminkan pendapatan sewa yang lebih rendah," jelas MIDF Research.

 

IGB REIT mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM260.2 juta pada tahun kewangan 2020.

 

Pendapatan suku keempat 2020 serta jumlah keuntungan bersih masing-masing meningkat sebanyak 5.7% dan 27% tahun ke tahun.

 

Secara keseluruhan, keuntungan bersih tahun kewangan 2020 menurun sebanyak 17.7% berbanding tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research menjangkakan kesan kehilangan pendapatan pada tahun kewangan 2021 adalah lebih terkawal berbanding tahun kewangan 2020.

 

CGS-CIMB Research berkata, keadaan yang lebih baik itu dilihat berdasarkan kepada lebih banyak penyewa dan peruncit yang masih dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP 2.0.

 

"Kami mengurangkan ramalan pendapatan IGB REIT bagi tahun kewangan 2021 hingga 2022 sebanyak 5% hingga 6%.

 

"Sekiranya pelaksanaan vaksin COVID-19 pada Mac berjaya, kami yakin ini akan meningkatkan sentimen peruncit dan mengurangkan keciciran penyewa," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com