PKP 2.0? Ladang sawit dijamin terus beroperasi | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0? Ladang sawit dijamin terus beroperasi

Ladang sawit

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Kerajaan menerusi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) memberi jaminan bahawa sektor perladangan sawit akan terus beroperasi meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.

 

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, usaha itu adalah untuk memastikan ladang sawit terus beroperasi sekali gus melancarkan pengeluaran minyak sawit yang membawa kebaikan kepada ekonomi negara.

 

"Suka untuk saya redakan kebimbangan mereka (penggiat industri) bahawa ladang-ladang akan terus dibenarkan beroperasi dengan prosedur standard operasi (SOP) yang lebih ketat. 

 

"Begitu juga dengan kilang-kilang pengeluaran dan penapisan juga akan dibenarkan beroperasi seperti biasa," katanya seperti dilapor Berita Harian.

 

Tambah beliau, pihaknya yakin mendepani situasi PKP 2.0 sekiranya benar-benar dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

 

Mohd. Khairuddin Aman Razali
Mohd. Khairuddin Aman Razali 

 

Ujarnya, hal itu kerana pihaknya banyak belajar daripada pengalaman PKP kali pertama pada sebelum ini.

 

"Kita telah melalui fasa PKP pada bulan Mac tahun lalu dan ternyata walaupun berlakunya PKP, kita masih boleh bertahan, ladang sawit masih boleh beroperasi seperti biasa.

 

"Jika dulu kapasiti yang dibenarkan ialah 50%, akhirnya (ia memberi) kesan yang baik kepada industri iaitu dari segi kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) di peringkat dunia.

 

"Maka sekiranya berlaku juga PKP, kita yakin keadaan akan lebih baik daripada PKP 1.0, kerana kita telah belajar kekurangan yang berlaku sepanjang tempoh kita hadapi PKP sebelum ini," tambah beliau.

 

Dalam tempoh PKP sebelum ini, beliau mengakui bahawa pihaknya agak terlambat untuk mengumumkan keperluan agar ladang sawit terus beroperasi.

 

Namun, selepas hampir setahun, pihaknya telah mempelajari cara untuk uruskan ladang dengan lebih berhemah agar tidak berlaku sebarang penularan wabak di dalam kawasan ladang.

 

Makluman lanjut berkaitan PKP akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pukul 6 petang, hari ini. - DagangNews.com