PKP 2.0: Operasi kedai makan, gerai hanya dibenarkan untuk perkhidmatan bungkus | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0: Operasi kedai makan, gerai hanya dibenarkan untuk perkhidmatan bungkus

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi hanya untuk perkhidmatan take away atau dibawa pulang. 

 

Sementara itu, bagi kawasan yang dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. 

 

Jelas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi. 

 

“Pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi; serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga. 

 

“Patuhi SOP ketika berada di tempat-tempat ini seperti memakai pelitup muka dengan betul, jaga penjarakan fizikal dan kerap gunakan hand sanitizer. 

 

“Sekiranya tidak ada keperluan segera atau mendesak, tidak perlulah keluar rumah. Stay at home,” katanya dalam perutusan khas hari ini. 

 

Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKP untuk tempoh 14 hari bemula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.

 

Baca : Kebimbangan terjawab, 6 negeri dikenakan PKP selama 14 hari

 

Langkah ini akan dilaksanakan secara berperingkat, di mana  PKP dikenakan ke atas enam  buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah. 

 

Kedua, PKPB ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

 

Ketiga, PKPP pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut. 

 

Tambah Muhyiddin, Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberikan jaminan bahawa bekalan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi. 

 

“Pemantauan terhadap barangan keperluan pengguna seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, hand sanitizer dan pelitup muka akan dilakukan setiap hari,” katanya lagi. - DagangNews.com