PKP 3.0 : ABIM gesa kerajaan laksana kembali moratorium | DagangNews Skip to main content

PKP 3.0 : ABIM gesa kerajaan laksana kembali moratorium

SHAH ALAM 12 Mei - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan melaksanakan kembali moratorium automatik khususnya untuk pinjaman pembelian kereta dan rumah untuk meredakan keresahan rakyat ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menjelang Aidilfitri ini.

 

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, moratorium secara automatik ini penting untuk memperbaiki dan menstabilkan semula kewangan rakyat yang semakin terhimpit sejak tahun lalu dan akan bertambah merosot susulan pengumuman PKP terkini.

 

"Pemberian moratorium hanya bersifat sementara dan para peminjam akan mula membayar kembali pinjaman apabila aktiviti ekonomi kembali pulih seperti sedia kala.

 

"ABIM memandang berat kesan pelaksanaan PKP terhadap kehidupan serta ekonomi rakyat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini sebagai mengulas pelaksanaan PKP 3.0 bermula hari ini sehingga 7 Jun 2021.



Muhammad Faisal berkata, ABIM juga menggesa subsidi upah diberi kepada para majikan khususnya yang terhenti kegiatan ekonominya. Subsidi upah ini penting untuk majikan serta para peniaga kecil memenuhi komitmen gaji bulanan untuk pekerja-pekerja mereka.

"Ini sedikit sebanyak membolehkan mereka memenuhi keperluan asasi para pekerja mereka," ujarnya.


ABIM kata beliau lagi, juga menggesa skim penyediaan komputer riba dalam kalangan murid untuk mengatasi kesenjangan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diagihkan segera khususnya dalam kalangan murid berlatarbelakangkan B40.



Katanya, komitmen ini penting untuk mengelakkan situasi kemiskinan digital yang boleh menjejaskan akses kepada pendidikan bermutu apa lagi Dasar Pendidikan Digital telah pun diumumkan Perdana Menteri pada Mac lalu. - DagangNews.com