PKP 4.0 : Kerajaan dijangka umum pakej bantuan hingga RM30 bilion - Firma  | DagangNews Skip to main content

PKP 4.0 : Kerajaan dijangka umum pakej bantuan hingga RM30 bilion - Firma 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Malaysia akan memasuki pusingan keempat perintah kawalan pergerakan atau PKP 4.0 mulai esok hingga 14 Jun meskipun keadaannya hampir mirip ketika PKP 1.0 tahun lalu.

 

Namun, rakyat kini lebih bersedia setelah melalui PKP penuh hampir 3 bulan pada 2020 dan program vaksinasi juga belum dilaksanakan lagi.

 

Bagi mengurangkan beban rakyat dan kesan ke atas ekonomi, firma-firma penyelidikan dalam nota kajian masing-masing hari ini mengharapkan kerajaan dapat mengumumkan pakej bantuan yang bersesuaian sejajar dengan pengumuman PKP secara menyeluruh.

 

Bagi CGS-CIMB, ia  menjangkakan kerajaan akan mengumumkan pakej rangsangan bernilai antara RM20 hingga RM30 bilion, merangkumi 1.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

"Ini amat penting bagi menyokong isirumah dan perniagaan yang terjejas termasuk meneruskan program bantuan tunai kepada B40, program subsidi upah dan skim pengekalan pekerjaan. 

 

"Antara lain, tumpuan bantuan ini termasuklah diskaun/penangguhan bagi cukai atau utiliti dengan kemudahan kredit sedia ada, pengeluaran wang pencen dan bantuan bayaran semula bersasar," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu menganggarkan kerugian kepada ekonomi mencecah RM1 bilion sehari atau mengikis 25% daripada KDNK bagi tempoh fasa pertama selama 2 minggu pelaksanaan PKP penuh.

 

Bagaimanapun, ia adalah lebih rendah berbanding PKP 1.0 sebanyak RM2.4 bilion sehari.

 

"Tetapi, pengurangan kapasiti ketika pembukaan semula ekonomi yang terhad di bawah fasa kedua akan mengecil kepada 12% atau RM500 juta sehari," katanya. 

 

Sekiranya, ia berlanjutan selama 6 minggu bagi fasa pertama dan kedua dan tambahan lagi bagi fasa ketiga (kerugian ekonomi RM400 juta sehari), firma itu akan menyemak turun KDNK tahun ini daripada 5.7% kepada 4.4% dengan mengambil kira perkembangan terkini PKP. 

 

Sementara itu, menurut MIDF Research dalam laporan tematik PKP 4.0 hari ini, pakej rangsangan ini dilihat akan memberi tumpuan kepada sektor-sektor yang terjejas dengan ketara. 

 

"Antaranya, kerajaan dijangka memperluaskan program subsidi upah, lebih banyak geran untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro, lanjutan bantuan bersasar pinjaman moratorium, pemberian tunai dan lain-lain. 

 

"Sejauh mana kesan ke atas ekonomi bergantung kepada saiz pakej rangsangan yang akan diumumkan kerajaan," katanya. 

 

Menurut firma itu, bank-bank dijangka terus melanjutkan bantuan kepada golongan terjejas akibat PKP 4.0. 

 

Tambahan pula, katanya, bank telah membina penampan yang mencukupi bagi menampung kerugian disebabkan pinjaman ini dengan liputan kerugian melebihi 100%. 

 

"Keadaan ini dapat membantu institusi perbankan menahan sebarang ketidaktentuan yang akan berlaku," katanya.

 

Menurut MIDF Research, sektor peruncitan dan pelancongan merupakan antara sektor paling terjejas tetapi impaknya mungkin lebih menyederhana.

 

"Ini mengambil kira situasi yang agak berbeza kali ini dan syarikat-syarikat pula sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan pandemik, dan program vaksin pula sedang berjalan," tambahnya.

 

Bagi MIDF Research, firma itu berpendapat, meskipun situasi ketika ini dilihat berbahaya tetapi PKP 4.0 sama sekali tidak sama seperti yang berlaku pada Mac dan April tahun lalu, kerana berdepan dengan lebih banyak ketidaktentuan.

 

"Jika PKP 4.0 berjaya mengurangkan jangkitan harian COVID-19, kerajaan akan melaksanakan fasa kedua atau PKP 4.1 bagi tempoh 4 minggu dengan pembukaan semula ekonomi tanpa melibatkan perhimpunan majlis-majlis sosial, yang kemudiannya diikuti dengan fasa ketiga (seperti PKP 3.0).

 

"Tetapi, keputusan ini bergantung kepada Kementerian Kesihatan berdasarkan kepada perkembangan kes jangkitan harian dan kapasiti hospital di seluruh negara bagi merawat pesakit COVID-19," jelasnya. - DagangNews.com