Gambar AP
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 20 Mei - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal mempengerusikan satu mesyuarat bagi membincangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, esok.
Ini menurut laporan ringkas dikeluarkan Bernama, yang memetik kenyataan Menteri di Pejabat Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) hari ini.
Perkara tersebut akan diputuskan dalam perbincangan yang akan diadakan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 di Putrajaya.
"PKP penuh antara langkah yang perlu dikirkan oleh MKN, dan ia akan dibincangkan esok sebelum diputuskan.
“Mesyuarat pukul 3.00 petang itu juga akan dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri," katanya.
Langkah itu diambil selepas kerajaan melihat penularan COVID-19 amat serius dan berdasarkan statistik semalam, jumlah kumulatif kes positif sudah hampir setengah juta, ujar beliau lanjut.
Pada 10 Mei lalu, Muhyiddin menerusi satu kenyataan mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara sehingga 6 Jun depan, namun hampir semua operasi perniagaan masih dibenarkan.
Setakat petang ini, Malaysia mencatatkan kes jangkitan COVID-19 harian tertinggi sejak negara dilanda COVID-19, iaitu 6,806 kes baharu.
Selangor masih mencatatkan kes harian tertinggi, pada kadar 2,277, sekali gus menyaksikan jumlah kes keseluruhan mencecah 492,302. - DagangNews.com