PKP tidak mungkin dilaksanakan lagi - PM | DagangNews Skip to main content

PKP tidak mungkin dilaksanakan lagi - PM

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Mac - Kerajaan memberi jaminan tiada lagi pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam mengekang penularan wabak COVID-19 seperti dilaksanakan sebelum ini.

 

Sebaliknya, kerajaan akan memberi tumpuan secara lebih bersasar dengan bersandarkan kepada sains dan data untuk mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam taklimat khas mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) berkata, kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja.

 

"Pada masa sama, dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, erajaan berkemungkinan tidak perlu lagi melaksanakan PKP secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri," katanya. 

 

Beliau berkata, selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pematuhan SOP dan penguatkuasaan perundangan yang lebih ketat dan telus akan terus dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak COVID-19. 

 

Bagi melindungi golongan pekerja, kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan melaksanakan inisiatif Safe@Work yang mempertanggungjawabkan majikan untuk menyediakan tempat kerja dan penginapan yang kondusif bagi para pekerja. 

 

Syarikat yang berdaftar dengan MITI untuk program Safe@Work akan dibenarkan beroperasi dalam keadaan di mana pekerja-pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja-pekerja lain dengan meletakkan mereka di dalam “safe work bubble” sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada COVID-19. 

 

"Sebagai galakan kepada syarikat untuk menyertai program yang bersifat sukarela ini, kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat pengilangan dan syarikat perkhidmatan berkaitan pengilangan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja," katanya. 

 

Perdana Menteri berkata, perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada RM50,000 bagi setiap syarikat yang berdaftar dengan MITI dan telah lulus audit pematuhan Safe@Work. 

 

Syarikat boleh mendaftar mulai 1 April 2021, tambahnya.

 

Selain itu, majikan yang membuat ujian pengesanan COVID-19 untuk pekerjanya dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan COVID-19 bagi perbelanjaan yang dibuat sehingga 31 Disember 2021. - DagangNews.com