PKS Malaysia sertai jualan dalam talian ASEAN menerusi AOSD | DagangNews Skip to main content

PKS Malaysia sertai jualan dalam talian ASEAN menerusi AOSD

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Perniagaan di Malaysia akan berganding bahu dengan komuniti ASEAN untuk menggalakkan perdagangan dalam talian yang merentas sempadan.

Kerjasama itu dapat disaksikan menerusi kempen jualan dalam talian ASEAN yang julung kali dianjurkan, The ASEAN Online Sale Day (AOSD) pada 8 Ogos depan, sempena Hari ASEAN 2020. 

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lokman Hakim Ali berkata, usaha itu tepat pada masanya memandangkan perniagaan di ASEAN berubah kepada digital sebagai langkah mendepani cabaran pandemik COVID-19.

 

Lokman
Lokman Hakim Ali

 

“Usaha ini juga merupakan langkah terbaik untuk menyampaikan mesej positif kepada pengguna dan perniagaan di seluruh dunia bahawa ASEAN ‘terbuka kepada bisnes’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menerusi AOSD, syarikat dari Malaysia yang merupakan 10 ahli ASEAN akan mempromosikan penjualan dan pembelian barangan rumah secara dalam talian. 

Antara segmen produk yang terlibat adalah makanan dan minuman, fesyen dan aksesori serta produk isi rumah. 

AOSD akan menyaksikan Malaysia bekerjasama dengan 12 pasaran dalam talian termasuk BliBli, BuyMalaysia, JOCOM, Lazada, Lokein, MilkADeal, PG Mall, Shopee, SOLDGO MY, SushiVid, Vettons dan Zalora.

Penglibatan Malaysia dalam program perintis itu adalah anjuran bersama MITI dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dengan sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, inisiatif berkenaan selari dengan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NeSR) yang bertujuan mempromosikan jenama tempatan bagi memperkasa e-dagang rentas sempadan.

 

Surina Shukri
Surina Shukri

 

“Menerusi AOSD, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia akan menerima pendedahan kepada peluang perniagaan bersesuaian yang mengangkat mereka ke peringkat pasaran rantau,” katanya dalam kenyataan sama. 

AOSD akan diangkat sebagai acara tahunan dan sebahagian daripada sambutan Hari ASEAN.

Rakyat Malaysia boleh layari AOSD menerusi www.aseanonlinesaleday.com pada 8 Ogos dan kempen itu akan berakhir pada hari sama, pukul 12 malam. 

Forum Ekonomi Dunia mengunjurkan e-dagang akan menjadi saluran yang berkembang pesat di ASEAN dengan peningkatan sebanyak 21% pada setiap tahun.

Selain itu, sektor e-dagang ASEAN juga dijangka mencapai pertumbuhan antara AS$100 bilion hingga AS$300 bilion menjelang 2025. - DagangNews.com