SAMENTA, persatuan PKS tertua dan terbesar di Malaysia, mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz di atas pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu atau NIMP2030.
NIMP2030 menggariskan aspirasi negara untuk membantu sektor perindustrian untuk meningkatkan peranan dalam rantaian nilai global, menaikkan nilai tambah dan memacu daya saing PKS.
NIMP2030 telah mengambil kira cabaran ekonomi global hari ini, termasuk penyahglobalisasian, dan mencadangkan langkah untuk memperjuangkan keupayaan pembuatan yang lebih mendalam dan menyokong peralihan ke ekonomi rendah karbon melalui pelbagai pemboleh, strategi dan pelan tindakan.
Memandangkan fokus NIMP2030 adalah PKS, para usahawan PKS perlu tangkas menangkap peluang yang dicadangkan oleh pelan induk tersebut.
Antara yang perlu dilakukan dengan segera ialah peralihan daripada mentaliti ‘Buatan Malaysia’ kepada pendekatan ‘Inovasi Malaysia’. PKS seharusnya tidak lagi menghadkan diri kita untuk menjadi pengeluar barangan (OEM), tetapi mesti menaiki rantaian nilai untuk menjadi pengeluar reka bentuk (ODM) dan pemilik jenama (OBM).
Ini bermakna PKS kita perlu beralih daripada menjadi pembekal semata-mata kepada pemilik jenama global kepada bekerjasama dengan pemain global tersebut untuk menyediakan keupayaan reka bentuk dan R&D, dan akhirnya membangunkan jenama sendiri.
Untuk tujuan ini, PKS perlu memperdalam hubungan dengan negara jiran seperti Indonesia, negara Thai dan Vietnam, di mana kerja yang lebih intensif buruh boleh dilakukan di negara-negara tersebut.
Pemilikan jenama dan reka bentuk memberikan margin keuntungan dan nilai tambah yang lebih kukuh dan tinggi, berbanding aktiviti pembekalan komponen dan pemasangan yang bernilai rendah.
Pada masa yang sama, PKS perlu mendalami perjanjian-perjanjian perdagangan pelbagai hala (FTA) seperti CPTPP dan RCEP, untuk membolehkan kita mengguna pakai dengan lebih baik peluang rantaian nilai global.
Kami berharap kerajaan akan menyokong persatuan seperti SAMENTA untuk membantu merealisasikan peluang dalam FTA ini kepada PKS.
Pada bulan April lepas, SAMENTA menganjurkan misi perdagangan PKS ke Taiwan, yang memperoleh jumlah perniagaan sebanyak RM 58.6 juta.
Dengan sokongan yang lebih besar daripada kerajaan, aktiviti seperti ini boleh dipergiatkan, supaya PKS kita dapat dengan lebih segera mengeksport barangan kita ke seluruh dunia dengan memanfaatkan FTA yang sedia ada.
Supaya NIMP2030 dapat dijayakan, kita juga mesti beralih daripada pendekatan intervensi berasaskan geran yang dilihat memberi manfaat kepada sekumpulan kecil perniagaan, kepada pendekatan pembiayaan bersubsidi untuk menyokong lebih ramai PKS dan memacu perubahan ‘mindset’ PKS kita.
Apabila PKS kita menjadi lebih berdikari dan berdaya saing, kadar kegagalan dalam kalangan PKS dapat diturunkan dan bilangan PKS yang dapat memainkan peranan yang bermakna dalam rantaian nilai global juga dapat diperbesarkan.
SAMENTA kekal komited untuk menyokong kesemua 1.2 juta PKS di seluruh negara untuk menjadi lebih produktif dan berdaya saing berteraskan pendigitalan dan penglobalisasian.
Oleh itu, kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih erat dengan MITI dan agensi-agensinya untuk merealisasikan matlamat NIMP2030.
Ditubuhkan pada 1986, SAMENTA ialah persatuan PKS tertua dan terbesar di Malaysia, dengan lebih 3,000 ahli di seluruh negara. Persatuan berbilang kaum, pelbagai sektor, SAMENTA telah berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan persekitaran perniagaan yang mesra PKS dan menghubungkan PKS kepada peluang serantau dan global. - DagangNews.com