Planworth tawar pembiayaan pemfaktoran bantu PMKS kembangkan perniagaan | DagangNews Skip to main content

Planworth tawar pembiayaan pemfaktoran bantu PMKS kembangkan perniagaan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 April - Planworth Global Factoring menawarkan pembiayaan pemfaktoran dengan menyediakan modal kerja dan aliran tunai bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mencapai trajektori pertumbuhan yang sihat dan mampan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Datuk Andy Kuek berkata masalah yang seiring dihadapi oleh PMKS adalah kekurangan aliran tunai dan pengalaman justeru syarikatnya menyediakan kepakaran dan pengalaman untuk membantu mereka terus berkembang.

 

“Pemfaktoran merupakan penyelesaian kewangan yang membolehkan perusahaan mendapatkan aliran tunai dengan serta merta atau mengurangkan baki dalam kunci kira-kira mereka melalui penjualan invois tidak berbayar (perniagaan ke perniagaan atau B2B) pada harga diskaun kepada syarikat-syarikat seperti Planworth,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Andy berkata pemfaktoran Planworth dapat menyokong perniagaan dengan penskoran mesra kredit (credit-friendly scoring) serta kepakarannya dalam membantu syarikat besar, syarikat tersenarai, serta PMKS, di mana pembiayaan serta-merta kini tersedia untuk semua jenis perusahaan.

 

“Selain daripada menambah baik modal kerja perusahaan, ia juga membantu syarikat-syarikat ini meningkatkan keuntungan dengan mengembangkan lagi perniagaan dan mengurangkan kos tetap,” katanya.

 

Menurut Andy, had peminjaman Planworth adalah melebihi RM10 juta bagi setiap syarikat pra dan pasca pembiayaan, menjadikannya pilihan pembiayaan yang tepat untuk menyokong kemudahan perbankan sedia ada kepada mana-mana usahawan yang ingin mempercepatkan pertumbuhan perusahaan mereka.

 

 

Datuk Andy Kuek
Datuk Andy Kuek

 

 

Planworth Global Factoring adalah peneraju dan terbesar bagi institusi kewangan pemfaktoran bukan bank di Malaysia yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia dan ePerolehan.

 

Dipacu oleh teknologi dan jalinan hubungan, syarikat tersebut menghargai hubungan jangka masa panjang dengan para pelanggan mereka, di samping khidmat penyelesaian mengikut kesesuaian pelanggan.

 

Di samping itu, pakar-pakar dari Planworth akan memperuntukkan masa bagi memahami transaksi dan keperluan kewangan sesebuah perusahaan, termasuklah perkhidmatan menguruskan penghutang bagi pihak pelanggan mereka.

 

Mengulas lanjut, Andy berkata sokongan kewangan kemudiannya akan diagihkan sewajarnya mengikut keperluan, sama ada untuk pembayaran gaji bulanan pekerja, memenuhi permintaan inventori jumlah pesanan besar secara tiba-tiba dan mengatasi kos overhed yang semakin tinggi.

 

“Paling penting, untuk semua perkhidmatan ini, tiada bayaran faedah akan dikenakan jika pinjaman tidak digunakan justeru memastikan perniagaan terjaga dengan baik dan pembiayaan mereka diberi perhatian dengan teliti,” tambahnya.

 

Selain itu, pemilik syarikat pula boleh menumpukan perhatian kepada aspek selain daripada urusan seharian, sebagai contoh pertumbuhan jangka masa panjang, pengembangan, atau mewujudkan kerjasama industri, katanya. -DagangNews.com