Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng (kiri) bersama penjual ke-100,000 Carsome, Mizran Nahar.
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Platform dagangan kereta terpakai dalam talian yang terbesar di Asia Tenggara, Carsome meraikan detik penting apabila berjaya mencatat rekod penjual kereta terpakai yang ke-100,000 di negara ini.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng berkata, pencapaian tersebut bukan satu perkara yang mudah untuk diperoleh.
“Salah satu cabaran terbesar pada tahap awal operasi kami adalah mendapatkan kepercayaan pengguna untuk mula menggunakan perkhidmatan yang pada ketika itu masih baru di pasaran.
"Kami mula membina kepercayaan dengan mewujudkan proses penjualan kereta terpakai yang telus dan tidak merumitkan.
"Saya amat berbangga kerana lebih daripada 100,000 orang pelanggan di Asia Tenggara menaruh kepercayaan kepada kami untuk menjual kereta mereka dan kami berharap untuk mencapai sasaran sejuta orang penjual tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sejak ditubuhkan, Carsome sentiasa berusaha ke arah menyediakan penyelesaian untuk menangani isu-isu industri pasaran kereta terpakai yang dicemari oleh rasa curiga akibat proses penjualan kereta yang tidak seragam dan kurang telus.
Kejayaan mencatatkan 100,000 orang penjual dalam tempoh lima tahun bukan sahaja suatu pencapaian bagi Carsome, tetapi juga membuktikan kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatannya.
Carsome telah menerima maklum balas yang positif daripada para pelanggannya dan turut mencatatkan kadar (rating) kepuasan pelanggan dalam talian yang tinggi.
Setakat November 2020, Carsome mencatatkan rating 4.7 daripada 5.0 di Facebook dan 4.6 daripada 5.0 di Google untuk pasaran di Malaysia, Indonesia dan Thailand.
“Kami telah mengubah cara pelanggan menjual kereta mereka. Seterusnya, kami akan memperkenalkan cara baharu untuk membeli kereta terpakai di rantau ini ekoran kejayaan pelancarannya di Malaysia tiga bulan yang lalu.
"Dengan sokongan dan keyakinan pelanggan yang berterusan terhadap perkhidmatan kami yang berkualiti, kami komited untuk terus membangunkan Carsome sebagai jenama yang paling diyakini," ujarnya lagi.
Carsome akan terus melabur dalam pendigitalan dan penambahbaikan produknya supaya pengguna dapat menjalankan urus niaga kereta dengan lebih cepat dan mudah.
Syarikat itu juga akan membuka lebih banyak pejabat urusan di rantau Asia Tenggara dalam usaha untuk memperkenalkan cara baharu jualan dan belian kereta terpakai dalam industri automotif selain menerokai sektor pendidikan teknikal dalam masa beberapa bulan yang akan datang dengan aspirasi untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja menerusi akreditasi. - DagangNews.com