Platform IORA dapat lonjak eksport usahawan - Wan Junaidi | DagangNews Skip to main content

Platform IORA dapat lonjak eksport usahawan - Wan Junaidi

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menunjukkan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan Kerajaan Negara Anggota Indian Ocean Rim Association (IORA) bagi kerjasama dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana di Kuala Lumpur, hari ini. 

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC)  yang menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negara Anggota Indian Ocean Rim Association (IORA) dapat memacu agenda pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di peringkat serantau. 

 

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerjasama di bawah platform IORA ini akan membuka peluang PKS untuk memupuk kerjasama dan menyumbang kepada pencapaian nilai eksport sebanyak 30% menjelang 2030. 

 

Katanya, pihak ementerian yakin pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) ini dapat mengukuhkan hubungan kerjasama negara anggota IORA dalam mendepani krisis ekonomi akibat penularan pandemik COVID-19. 

 

"MEDAC akan terus komited dalam pelaksanaan perjanjian tersebut bagi memastikan hasrat kerajaan dalam menjayakan Malaysia sebagai Negara Keusahawanan Unggul pada 2030 dapat dicapai. 

 

"Sejajar dengan aspirasi DKN 2030, PKS memainkan peranan penting bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi negara Malaysia yang inklusif, seimbang dan mampan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

IORA merupakan pertubuhan yang dianggotai 22 negara terdiri daripada Australia, Bangladesh, Comoros, India, Indonesia, Iran, Kenya, Madagascar, Malaysia, Maldives dan Mauritius. 

 

Selain itu, Mozambique, Oman, Emiriah Arab Bersatu, Seychelles, Singapura, Afrika Selatan, Somalia, Sri Lanka, Tanzania, Thailand dan Yemen juga berada dalam kelompok IORA. 

 

Sehingga Disember 2020, 15 daripada 22 negara anggota IORA telah memeterai MoU dalam pelbagai kerjasama antaranya, membina jaringan dan kerjasama antara institusi berkaitan dari negara anggota. 

 

Malah, ia juga menggalakkan penyertaan PKS dalam pelbagai platform dan memudah cara capaian kepada akses pasaran melalui pematuhan standard, pensijilan dan penambahbaikan teknologi. - DagangNews.com