KUALA LUMPUR 7 Dis - MoneyMap2U memperkenalkan platform perbandingan kewangan bagi membantu rakyat Malaysia mengenal pasti pinjaman dan bank terbaik berdasarkan kepada keperluan mereka.
MoneyMap2U menyatukan maklumat mengenai produk kewangan di Malaysia untuk membantu pengguna membuat keputusan terbaik dan memohon secara strategik.
Platform itu menyenaraikan semua butiran berkaitan dan maklumat yang telus tentang produk kewangan yang tersedia dengan pengguna boleh memperoleh pemahaman yang lebih baik tentang produk khusus yang dicari.
Dengan hanya beberapa klik, pengguna dapat membandingkan pinjaman perumahan, pinjaman kereta, kad kredit dan polisi insurans daripada pelbagai pembekal secara percuma.
Pengarah MoneyMap2U, Jym Chee berkata, dalam mencari tawaran terbaik, ia akan memakan masa lama untuk menyemak semua pilihan yang ada dan platform itu menyediakan perbandingan pilihan terbaik.
"Menerusi MoneyMap2U, pengguna mendapat platform yang mudah dengan maklumat yang boleh dipercayai dan telus, supaya mereka dapat melihat produk mana yang sesuai untuk keperluan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jym berkata, MoneyMap2U juga memperluaskan perkhidmatannya untuk membantu pemilik perniagaan mendapatkan sokongan kewangan daripada institusi kewangan yang boleh dipercayai.
Katanya, mereka juga berhasrat untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai proses permohonan pinjaman dan cara untuk meminimumkan penolakan pinjaman.
"Dalam banyak kes permohonan gagal, pemohon biasanya mengemukakan permohonan pinjaman mereka secara membuta tuli tanpa penyelidikan terlebih dahulu.
"Oleh itu, ramai pemohon gagal memahami bahawa pelbagai jenis pinjaman mempunyai keperluan dan proses yang berbeza," katanya.
Platform itu juga menyediakan produk patuh syariah kepada pelanggan Islam. - DagangNews.com