Platform penjagaan kecantikan Sentuh sasar kutipan dana pelaburan RM500k | DagangNews Skip to main content

Platform penjagaan kecantikan Sentuh sasar kutipan dana pelaburan RM500k

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Platform penjagaan kecantikan dan kesihatan fizikal dalam talian, Sentuh.my (Sentuh) menyasarkan kutipan pembiayaan awam pelaburan sehingga RM500,000 bagi mengembangkan perniagaan syarikat pasca COVID-19.

Pembiayaan itu sedang berjalan di platform pembiayaan awam rangkaian rakan ke rakan (P2P), pitchIN.

Sentuh yang telah beralih ke platform digital sejak 23 bulan lalu berhasrat mengembangkan rangkaiannya menerusi aplikasi mudah alih baharu, Sentuh Merchant App selepas terjejas akibat pandemik COVID-19. 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Sentuh, Ahmad Aizudin berkata, akibat penularan COVID-19, pihaknya melihat permintaan dan trend perkhidmatan penjagaan kecantikan di rumah berkembang pesat.

 

Ahmad Aizudin
Ahmad Aizudin

 

“Kedai fizikal tidak dapat beroperasi, ada yang terpaksa tutup kerana tiada alternatif lain dan tidak bersedia. 

“Jika dilihat kembali waktu mencabar itu, ia mendorong kami mewujudkan Sentuh Merchant App,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sentuh menawarkan khidmat spa, fisioterapi dan penjagaan kesihatan lain di rumah-rumah klien mereka. 

Perniagaan itu mempunyai lebih 200 ahli terapi yang majoritinya tergolong dalam kumpulan B40 di tiga pasaran berbeza iaitu Lembah Klang, Johor Bharu dan Kota Kinabalu.

 

Sentuh

 

Meletakkan pertumbuhan syarikat sebagai keutamaan ketika pandemik COVID-19, Sentuh telah mengenalpasti dua masalah utama iaitu pengguna dan perkhidmatan.

Bagi isu pengguna, tempahan sesi urut atau fisioterapi mungkin dilihat memakan masa dan membosankan manakala, perkhidmatan pula melibatkan kos tinggi bagi keperluan peralihan digital selain teknologi yang kompleks.

“Kami melancarkan Sentuh Merchant App terutamanya untuk menawarkan penyelesaian bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kecantikan selain menangani isu-isu berkenaan. 

“Aplikasi ini merangkumi sistem pengurusan dan tempahan yang menyeluruh. Menerusinya, kami menawarkan perkhidmatan terbaik ke dalam pasaran penjagaan kesihatan dan kecantikan selain berkembang lebih pesat dengan menyediakan perkhidmatan berkualiti,” tambah Ahmad.

 

sentuh

 

Sentuh sebelum ini telah mencapai hasil sehingga RM1 juta pada suku pertama 2020 (1Q20) dan menerima tempahan ke 10,000 pada Mac 2020.

Sentuh optimistik menerusi pelancaran aplikasi itu, pihaknya dapat menawarkan 10 perkhidmatan dengan sasaran hasil sebanyak RM6 juta pada penghujung 2021.

Sebelum ini, Sentuh telah menerima geran sebanyak RM300,000 daripada geran Cradle Fund's CIP300 pada tahun 2018. - DagangNews.com