Plenitude capai 60% tempahan projek kediaman Cello 3C di Johor Bahru | DagangNews Skip to main content

Plenitude capai 60% tempahan projek kediaman Cello 3C di Johor Bahru

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Plenitude Bhd mengumumkan pembangunan terbarunya, Cello 3C, yang terletak di perbandaran Taman Desa Tebrau, Johor Bahru mencapai kadar penerimaan memberangsangkan sebanyak 60% sejak pra-jualannya pada Oktober tahun lalu.

 

Kumpulan itu berkata, projek pembangunan itu menampilkan 141 unit rumah teres dua tingkat yang direka bersesuaian dengan kehendak pelbagai golongan, termasuk pembeli rumah kali pertama, mereka yang merancang untuk berpindah ke tempat tinggal baru dan individu yang menginginkan peningkatan gaya hidup.

 

Katanya, setiap kediaman mempunyai saiz tanah yang lapang seluas 22' x 75', menjanjikan kehidupan yang selesa. 

 

"Dengan pegangan bebas, Cello 3C bukanlah hanya sekadar rumah tetapi juga merupakan satu pelaburan yang berkekalan. Reka bentuknya yang teliti menampilkan empat bilik tidur, empat bilik air dan kawasan binaan yang luas bermula dengan 2,236 hingga 2,535 kaki persegi.

 

"Ditempatkan dalam Taman Desa Tebrau seluas 390 hektar ekar, Cello 3C amat menitikberatkan ketersambungan yang lancar. Pembangunan ini mempunyai akses mudah ke lebuh raya utama seperti Lebuhraya Pasir Gudang, Lebuhraya Tebrau, dan Lebuhraya Utara-Selatan, memastikan penduduk menikmati perjalanan ulang-alik yang tidak rumit," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Katanya, selain lokasi strategik, Cello 3C dikelilingi institusi pendidikan ternama, termasuk Sekolah Antarabangsa Fairview, Kolej Sunway, dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Foon Yew, memberikan pelbagai peluang pendidikan untuk keluarga. 

 

Tambahan pula, penduduk Cello 3C menikmati kelebihan berada dekat dengan pusat beli-belah terkemuka, termasuk IKEA Tebrau, pusat beli-belah Toppen, Tesco Desa Tebrau dan Aeon Mall Tebrau City.

 

 

plenitude

 

 

"Memenuhi keperluan kesihatan, Cello 3C terletak secara strategik berdekatan dengan Hospital Sultan Ismail yang terkenal. Untuk rekreasi keluarga, penduduk boleh mengunjungi Kompleks Sukan Nusa Mutiara, yang dilengkapi dengan kolam renang dan menawarkan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan untuk semua peringkat umur. 

 

"Peminat golf boleh meluangkan masa mereka dengan sukan rekreasi mewah di pusat golf yang terletak berdekatan dengan komuniti ini. Ini memastikan penduduk Cello 3C mempunyai akses kepada gaya hidup yang lebih bermutu dan santai, menggabungkan kegembiraan aktiviti rekreasi yang pelbagai," katanya.

 

 

plenitude

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Plenitude, Lee Wee Kee berkata, meneruskan kejayaan projek Cello sebelum ini (Cello 3A, 3D, dan 3B), menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan tempat dalam komuniti yang berkembang dengan menempah unit di Cello 3C. 

 

"Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kumpulan ini terhadap pembangunan keseluruhan bandar, Plenitude akan memperkenalkan lebih banyak fasa dan projek, termasuk rumah kluster dua tingkat dan rumah berkembar pada 2024," katanya. - DagangNews.com