KUALA LUMPUR 9 Nov – Plenitude Berhad mencatat pendapatan RM272.7 juta bagi Tahun Kewangan (FY) 2022 dengan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM42.3 juta.
PBT meningkat sebanyak 43% daripada tahun kewangan sebelumnya sebanyak RM29.5 juta dengan pendapatan sebanyak RM208.5 juta.
Bahagian pembangunan hartanah Plenitude menyumbang 81% ataupun RM220.6 juta, daripada jumlah pendapatan kepada Kumpulan. Jualan bahagian itu meningkat kepada RM214.1 juta bagi FY2022, di mana 92% daripadanya adalah rumah bertanah.
Kumpulan Plenitude juga telah mengagihkan dividen satu peringkat sebanyak 2.5 sen sesaham berdasarkan prestasi kewangan keseluruhan yang menggalakkan bagi FY2022 yang dibentangkan untuk kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung tahunannya (AGM) pada 9 November 2022.
Jualan yang dicatatkan pada TK2022 adalah daripada Fasa 19 & 20 yang telah siap bina iaitu Clarinet dan Harp di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru, Fasa 4E - Topaz di Taman Putra Prima, Puchong, dan Bintang Maya 2 di Sungai Petani; dan rumah dalam pembinaan Fasa 5 - Diamond, Taman Putra Prima, Puchong dan Bintang Maya 3, Sungai Petani serta Fasa 19 & 20 (3D) Cello yang baru dilancarkan di Taman Desa Tebrau.
Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas Plenitude, Elsie Chua berkata, Plenitude berbangga kerana rangkaian produk kukuh yang ditawarkannya di negeri-negeri dan wilayah di mana permintaan hartanah kekal berdaya tahan adalah antara langkah strategik yang membawa hasil kepada bahagian pembangunan hartanahnya.
"Kami berharap dapat memanfaatkan kelebihan daya saing ini untuk meraih kejayaan dalam pelancaran fasa baharu kami yang akan datang di Taman Desa Tebrau (Cello 3B dan Harp 2C), perbandaran baharu Impian Hills, Ulu Tiram serta banglo satu tingkat di perbandaran pembangunan bercampur baharu di Bukit Bintang, Sg. Petani, Kedah pada FY2023,” katanya.
Strategi jangka panjang Plenitude untuk mengukuhkan perniagaannya kini menyaksikan Kumpulan memegang bank tanah sebanyak 1,192 ekar dan dijangka berkembang lagi.
Plenitude juga baru-baru ini melancarkan kempen "Home Sweet Home by Plenitude" dengan tawaran menarik yang membantu pemilikan rumah lebih mudah dicapai. Kempen ini merangkumi enam projeknya di lima lokasi berasingan di Pulau Pinang, Kedah, Johor, dan Lembah Klang dengan tawaran eksklusif untuk direbut seperti rebat menarik, yuran guaman percuma, duti setem percuma dan banyak lagi.
Sementara itu, bahagian hospitalitinya mencatatkan peningkatan ketara dalam hasil pendapatan sebanyak RM47.5 juta, kenaikan 137% daripada tahun sebelumnya yang berjumlah RM20 juta.
Penarikan balik larangan perjalanan menyumbang kepada hasil yang lebih tinggi yang dijana daripada penghunian yang lebih baik dan kadar bilik harian yang lebih tinggi di hotel-hotel milik Plenitude. Di samping itu, langkah rasionalisasi kos yang diambil oleh Kumpulan untuk mengurangkan kos operasi membantu menggambarkan prestasi yang lebih baik.
Sehingga 30 Jun 2022, Kumpulan memiliki lapan aset hospitaliti, dan dua aset kediaman iaitu Tanjung Point Residences di Pulau Pinang dan Domitys Bangsar Kuala Lumpur.
Plenitude baru-baru ini mengalu-alukan jenama Domitys dari Eropah, sebuah jenama penyedia kemudahan kediaman warga emas yang terkemuka. Domitys berpengalaman lebih 24 tahun dalam membantu warga emas hidup berdikari di persekitaran yang selesa dan selamat. Domitys Bangsar Kuala Lumpur ialah kediaman warga emas pertama di Asia di bawah jenama Domitys. Domitys mula beroperasi pada Oktober 2022.
Plenitude juga melabur sejumlah RM136 juta di Travelodge Honmachi Osaka, Jepun. Penginapan 14-tingkat dengan 138 bilik untuk tetamu jangka pendek atau panjang ini dilengkapi WiFi berkelajuan tinggi.
“Unjuran Bank Negara Malaysia bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 6.5% - 7% tahun ini mencerminkan masa hadapan yang lebih cerah dan Plenitude optimis akan adanya pertumbuhan ketara dalam permintaan tempatan bagi kedua-dua sektor hartanah dan hospitaliti.
"Plenitude yakin pelancaran fasa baharu, perbandaran, hotel dan kediaman warga emas milik Kumpulan akan menerima sambutan yang menggalakkan,” tambah Chua. - DagangNews.com