Plenitude catat pendapatan RM361.7 juta pada tahun kewangan 2023 | DagangNews Skip to main content

Plenitude catat pendapatan RM361.7 juta pada tahun kewangan 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - Plenitude Berhad, sebuah syarikat tersenarai awam dengan pelaburan dalam pembangunan dan pelaburan hartanah serta sektor hospitaliti, mengumumkan pendapatan sebanyak RM361.7 juta bagi tahun kewangan 2023. 

 

Plenitude berkata, prestasi kukuh itu didorong pendapatan memberangsangkan daripada penjualan hartanah teres, kadar penginapan di rangkaian hotel yang lebih tinggi, serta peningkatan kadar purata sewa bilik. 

 

Berikutan keputusan kewangan itu katanya, kumpulan tersebut mencadangkan dividen peringkat tunggal sebanyak 3 sen sesaham, semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) baru-baru ini.

 

"Pendorong utama pendapatan ini diperolehi sebahagian besarnya dari sektor pembangunan hartanahnya, dengan sumbangan pendapatan sebanyak RM219 juta, membentuk 60% daripada jumlah pendapatan keseluruhan kumpulan. 

 

"Bahagian hospitaliti pula merekodkan pendapatan sebanyak RM136.9 juta, dan baki RM5.8 juta pula diperolehi melalui pendapatan sewaan dari pelaburan hartanah dan dividen yang diterima daripada pelaburan dalam sekuriti ekuiti tersenarai," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, sebahagian besar daripada pendapatan bahagian hartanah tahun kewangan 2023, iaitu sebanyak 55%, yang berjumlah RM120 juta, diraih dari projek Taman Desa Tebrau di Johor Bahru, Johor. 

 

Katanya, peratusan besar itu mampu diraih daripada gabungan penjualan unit yang telah siap dan projek pembinaan yang masih berjalan, iaitu pelancaran Fasa 1 Magnolia, rumah teres 2 tingkat di Impian Hills, Ulu Tiram Johor, yang kesemuanya telah menyumbang sebanyak 4%, bersamaan RM9.6 juta pada suku ketiga 2023. 

 

 

plenitude

 

 

Selain itu, pelancaran rumah teres 2 tingkat Cello 3B di Taman Desa Tebrau pada suku keempat 2023, juga turut menyumbang kepada pendapatan tersebut.

 

"Penyiapan Fasa 5 Diamond, yang mempamerkan rumah teres 2 dan 3 tingkat di Taman Putra Prima, Puchong, Selangor, juga merupakan sumbangan penting dengan menjana sebanyak 22%, atau RM48 juta, kepada keseluruhan pendapatan bahagian hartanah tahun kewangan 2023," katanya.

 

 

plenitude

 

 

Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Plenitude, Elsie Chua berkata, pihaknya berjaya melonjakkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 39% iaitu RM58.6 juta dalam tahun kewangan 2023 yang merupakan suatu peningkatan signifikan berbanding RM42.3 juta dalam tahun kewangan 2022. 

 

"Tambahan pula dengan adanya simpanan tanah semasa seluas 456 hektar, kami bersemangat untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ini," katanya.

 

Dalam tahun kewangan 2023, bahagian hotel kumpulan juga mengalami peningkatan pendapatan yang luar biasa, iaitu tiga kali ganda daripada RM47.5 juta dalam tahun kewangan 2022 kepada RM136.9 juta. 

 

 

plenitude

 

 

Pendapatan hotel Plenitude diraih sama rata daripada bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia dan daripada aset luar negara seperti di Seoul, Korea Selatan, dan Osaka, Jepun. 

 

Empat hotel kumpulan di Pulau Pinang menyumbang sebanyak 40% daripada pendapatan hotel, manakala 3 hartanah di Kuala Lumpur menyumbang 30%. Travelodge Ipoh di Perak, Travelodge Myeongdong Euljiro di Seoul, dan Travelodge Honmachi Osaka di Osaka kesemuanya menyumbang baki 30% daripada pendapatan itu.

 

Tambah Chua, prestasi cemerlang dalam bahagian hotel adalah hasil daripada peningkatan aktiviti pelancongan, terutamanya di destinasi pelancongan utama di bandar besar di seluruh rantau ini.

 

 

plenitude

 

 

"Mengorak langkah ke hadapan, Plenitude tetap komited untuk memperkasakan portfolio hospitalitinya. Pemilikan hotel di lokasi strategik memberi kami perlindungan daripada inflasi dan meningkatkan keuntungan operasi.

 

"Ini terlihat dalam akuisisi terkini kami, termasuk resort pantai empat bintang di Langkawi dan hotel 13 tingkat di Seoul, Korea Selatan," katanya.

 

Di sebalik keputusan yang memberangsangkan ini, Plenitude mengakui cabaran global semasa dan landskap ekonomi domestik yang lesu dapat dilihat daripada kebimbangan berterusan tentang kadar inflasi, peningkatan perbelanjaan pembinaan, kekurangan tenaga buruh, ketegangan geopolitik, dan ketidaktentuan yang meningkat dalam pasaran kewangan.

 

Dengan mengambil kira faktor-faktor itu, Plenitude akan terus menitikberatkan kos pembinaan dan perbelanjaan dan memberi tumpuan kepada keuntungan kumpulan demi mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh sambil memastikan operasi perniagaan mampan pada masa akan datang. - DagangNews.com