PLUS aktifkan laluan SmartLane bantu kelancaran trafik di lebuh raya | DagangNews Skip to main content

PLUS aktifkan laluan SmartLane bantu kelancaran trafik di lebuh raya

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan akan berlaku sekali lagi lonjakan trafik pada hujung minggu ini berikutan berakhirnya cuti persekolahan dan cuti am Hari Pekerja bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri di antara 29 April hingga 1 Mei 2023. 

 

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan mengaktifkan ‘SmartLane’, iaitu pembukaan sementara Lorong Kecemasan di laluan-laluan tertentu yang kritikal di lebuh raya untuk menambah kapasiti lorong.

 

Katanya, sepanjang cuti perayaan ini, SmartLane telahpun diaktifkan di dua laluan di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara iaitu antara Persimpangan Port Dickson hingga Persimpangan Seremban antara KM260.0 hingga KM263.1 (Arah Utara) dan Persimpangan Senai Utara hingga Persimpangan Kulai antara KM19.0 hingga KM27.0 (Arah Utara) bagi membantu melancarkan pergerakan trafik. 

 

"Pelaksanaan SmartLane di dua laluan di wilayah selatan tersebut telah menerima maklum balas yang positif dan disambut baik oleh pengguna lebuh raya kerana inisiatif ini dapat membantu mengurangkan kesesakan," katanya.

 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, ketika laluan SmartLane diaktifkan, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara sebagai langkah untuk menambah kapasiti laluan terbabit sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka. 

 

Bagaimanapun katanya, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali menggunakan bahu jalan/laluan kecemasan di lokasi-lokasi lain yang mana tiada laluan SmartLane diaktifkan.

 

"Selain dua laluan tersebut, PLUS juga telah mengenalpasti lokasi lain bagi pengaktifan laluan SmartLane iaitu laluan Gua Tempurung-Gopeng antara KM306.7 hingga KM297.0 (Arah Utara), Slim River-Sungkai antara KM367.3 hingga KM354.1 (Arah Utara) dan Rawang-Sungai Buaya antara KM439.9 – KM435.5 (Arah Utara)," katanya.

 

 

plus
                                 Datuk Zakaria Ahmad Zabidi

 

 

Katanya, bagaimanapun pengaktifan laluan SmartLane di lokasi-lokasi tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak berkuasa pada waktu dan tempoh tertentu sebelum ia dilaksanakan.

 

Pengguna lebuh raya boleh mengenalpasti penggunaan laluan tersebut melalui papan tanda laluan SmartLane serta pengawal trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit atau merujuk laman media sosial PLUS di Facebook dan Twitter PLUSTrafik.

 

PLUS juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkuasa yang terlibat terutamanya pihak PDRM yang telah membantu menyuraikan dan mengawal trafik di lokasi laluan SmartLane dan di sepanjang lebuh raya pada musim perayaan ini. - DagangNews.com