Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Feb. - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membuka semula semua ruang makan di medan selera kawasan rehat dan rawat (R&R) bermula semalam.
PLUS berkata, pembukaan semula itu adalah termasuk dua restoran jejantas dan hentian sebelah di lebuh raya kendalian PLUS, termasuk di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
"Oleh itu, PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk menikmati makanan dan minuman di kawasan-kawasan tersebut agar terus patuh kepada Prosidur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan iaitu hanya dua orang dibenarkan berada pada satu meja makan dengan memastikan penjarakan fizikal satu meter.
"PLUS juga menasihatkan pelanggan untuk terus mematuhi SOP keselamatan dengan memakai pelitup muka, mendaftar melalui Aplikasi MySejahtera, menjalani pemeriksaan suhu badan dan mengamalkan penjarakan fizikal satu-meter apabila beratur untuk pembelian makanan atau ketika menggunakan kemudahan di R&R dalam tempoh ini," jelas PLUS dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, kesemua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas awam dan surau juga dibuka 24 jam semasa tempoh PKP.
Bagaimanapun, restoran, gerai serta trak bergerak makanan dan minuman termasuk kedai serbaneka beroperasi bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam.
"Keselamatan dan keselesaan pelanggan adalah keutamaan kami dan kami menyedari bahawa perniagaan komuniti tempatan antara penjana kepada ekonomi. Oleh itu, kami berharap kepada pelanggan yang perlu menggunakan lebuh raya pada tempoh ini dapat menyokong rakan niaga di R&R.
"Selain itu, kami menggunakan teknologi untuk membantu rakan niaga kami menerima tempahan melalui fungsi Pra-Pesanan menerusi Aplikasi PLUS.
"Kami berharap pelanggan dapat menikmati pelbagai juadah makanan yang lazat daripada gerai-gerai di 21 R&R terpilih, sama ada untuk menikmati makanan di R&R atau membawa pulang makanan dengan lebih mudah dan senang," tambah PLUS.
Orang ramai juga boleh melihat variasi pilihan makanan yang ditawarkan oleh rakan niaga atau membuat Pra-Pesanan di R&R terpilih menerusi aplikasi PLUS atau melalui pautan https://orderdisini.plus.com.my/ atau laman Facebook PLUS Malaysia. - DagangNews.com