PLUS jangka lonjakan trafik 2 juta kenderaan sehari sempena cuti perayaan Krismas dan hujung tahun | DagangNews Skip to main content

PLUS jangka lonjakan trafik 2 juta kenderaan sehari sempena cuti perayaan Krismas dan hujung tahun

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Dis - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lonjakan trafik kepada 2 juta kenderaan sehari sempena cuti perayaan Krismas dan hujung tahun mulai 23 Disember 2022 hingga 2 Januari 2023.

 

Pada ketika ini jumlah trafik harian di lebuh raya kendalian PLUS meningkat kepada 1.8 juta kenderaan sehari sejak memasuki fasa endemik berbanding 1.6 juta sehari yang direkodkan pada tahun 2019, iaitu sebelum pandemik COVID-19.

 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, lebih daripada 1.8 juta kenderaan direkodkan secara konsisten berikutan bermulanya cuti sekolah.

 

“Berdasarkan corak perjalanan pelanggan dan data trafik ketika cuti perayaan dan cuti hujung tahun lalu, kami menjangkakan kira-kira 2 juta kenderaan akan melalui rangkaian lebuh raya kami setiap hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Zakaria berkata, pelanggan lebuh raya disarankan untuk mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dan dinasihatkan bersedia untuk menempuh tempoh perjalanan yang lebih panjang disebabkan lonjakan trafik.

 

Katanya, TTA bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya, terutamanya di laluan-laluan kritikal, plaza tol dan kawasan rehat sepanjang musim perayaan ini. 

 

"Ia direka untuk mengelakkan pelanggan yang menuju ke destinasi yang lebih jauh ‘bertembung’ dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat," katanya.

 

 

plus
                              Datuk Zakaria Ahmad Zabidi

 

 

Menurutnya dengan mematuhi TTA, ia boleh memberikan pengalaman perjalanan pelanggan lebuh raya lebih baik.

 

Dalam perkembangan sama, Zakaria berkata, PLUS juga mengambil langkah lain bagi mengimbangi lonjakan trafik dan menyediakan perjalanan lancar dan selesa ketika musim perayaan. 

 

Beliau berkata, PLUS telah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja dan tiada penutupan lorong bermula 23 Disember hingga 26 Disember, dan di antara 30 Disember 2022 hingga 1 Januari 2023 untuk mengelakkan kesesakan di lebuh raya.

 

"Walau bagaimanapun, penutupan lorong mungkin terpaksa diadakan bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, kerja pembersihan di lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal atas sebab keselamatan," katanya.

 

Beliau menasihatkan pelanggan lebuh raya merujuk laman Twitter PLUS bagi mendapatkan maklumat terkini atau menggunakan aplikasi PLUS, yang membolehkan mereka mengenal pasti kawasan yang mengalami kesesakan.

 

"Twitter PLUS menyediakan maklumat trafik terkini sebagai panduan pelanggan. Selain itu,kami menawarkan aplikasi PLUS yang mana pelanggan lebuh raya boleh mengakses paparan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi-lokasi strategik dan laluan utama di lebuh raya.

 

“Mereka juga boleh berkomunikasi dengan P.U.T.R.I (PLUS Unique Texting Realtime Interface), iaitu chatbot artificial intelligence lebuh raya pertama yang boleh membantu merancang perjalanan mereka,” katanya.

 

 

plus

 

 

Zakaria turut menyarankan pelanggan lebuh raya supaya turut menggunakan aplikasi lain seperti Waze dan Google Maps ketika perjalanan.

 

Selain itu, beliau menasihatkan pelanggan lebuh raya supaya mereka bersedia secara fizikal dan mental untuk perjalanan jauh, termasuklah lebih berhati-hati ketika memandu pada musim hujan.

 

"Pastikan kenderaan anda dalam keadaan baik, mendapat rehat mencukupi dan sediakan keperluan penting seperti air, susu tepung bayi, ubat-ubatan untuk orang tua dan makanan ringan di dalam kenderaan.

 

“Mereka digalakkan untuk berhenti rehat di kawasan rehat & rawat (R&R) atau hentian sebelah dari masa ke masa sebelum menyambung semula perjalanan,” katanya.

 

Tambahnya, pelanggan lebuh raya diingatkan supaya memastikan kad Touch ‘n Go atau e-dompet mereka mempunyai baki mencukupi bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

 

Katanya, pelanggan dinasihatkan supaya masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan mod pembayaran yang sama dan menghubungi talian PLUSLine 1800-88-0000, jika berlaku kecemasan dan mahu mendapatkan bantuan di lebuh raya,” katanya. 

 

Perjalanan dari Lembah Klang (pada 23 Disember 2022 hingga 2 Januari 2023)

 

Pelanggan lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum pukul 10 pagi.

 

Sementara itu, bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya di antara pukul 12 tengah hari hingga 4 petang.

 

Perjalanan ke Lembah Klang (pada 23 Disember 2022 hingga 2 Januari 2023)

 

Pelanggan lebuh raya dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum pukul 10 pagi untuk perjalanan kembali semula ke Lembah Klang daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan negeri-negeri lain. - DagangNews.com