PM Anwar nafi pinggir hak Terengganu, peruntukan bertambah, wang ihsan disalur terus kepada rakyat | DagangNews Skip to main content

PM Anwar nafi pinggir hak Terengganu, peruntukan bertambah, wang ihsan disalur terus kepada rakyat

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Mac - Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan tuduhan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa Kerajaan Perpaduan meminggirkan hak negeri itu susulan isu bayaran wang ihsan atau royalti petroleum.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinannya tidak pernah menahan peruntukan kepada Terengganu cuma ia diberi terus kepada rakyat, bukan menerusi ahli Parlimen.

 

"Pemberian Persekutuan kepada Terengganu di bawah Kerajaan Perpaduan Madani lebih daripada yang diberi kerajaan terdahulu (PN).

 

"Begitu juga belanjawan pembangunan lebih daripada yang disebut wang ihsan tetapi salurannya terus kepada projek rakyat.

 

"Ada program mendesak, kecemasan misalnya hakisan di Tasik Kenyir kita terus beri peruntukan menyegerakan projek itu yang sebahagian dananya adalah daripada wang ihsan," katanya.

 

Anwar berkata demikian dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

 

mof
Anwar Ibrahim, Amir Hamzah Azizzan dan Lim Hui Ying pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini./Gambar FB MoF

 

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman dalam perbahasan di Dewan Rakyat pada 6 Mac lalu meminta penjelasan daripada Kementerian Kewangan mengenai tunggakan bayaran royalti minyak kepada negeri itu tahun lalu.

 

samsuri

 

Menteri Besar Terengganu itu mendakwa negeri itu masih belum menerima kira-kira RM1 bilion daripada kerajaan pusat.

 

Ketika muncul dalam siaran audiosiar (podcast) ‘Keluar Sekejap’ bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan mantan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, Ahmad Samsuri menjelaskan bayaran wang ihsan tidak diterima sepenuhnya apabila tamat pilihan raya umum 2022 lalu.

 

Sebaliknya, bayaran yang diterima oleh Terengganu hanyalah bayaran untuk emolumen (gaji), tidak termasuk satu dua perkara lagi untuk perkara-perkara lain, katanya. 

 

Ketika ditanya oleh Khairy mengenai adakah pembayaran tersebut perlu dilakukan secara automatik, beliau menjawab “benda (ia adalah secara) automatik sebelum-sebelum ini”. 

 

Sementara itu, Menteri Kewangan itu berkata, agihan peruntukan Belanja Pembangunan bagi Terengganu ditingkatkan kepada RM1.59 bilion tahun ini berbanding RM1.55 bilion pada 2023.

 

Menurut Anwar, tidak wujud istilah bahawa kerajaan pimpinannya bersifat zalim terhadap Terengganu memandangkan kerajaan telah melunaskan pemberian wang ihsan untuk negeri itu berdasarkan hasil petroleum tahun 2023, iaitu sebanyak RM786 juta.

 

Perdana Menteri berkata, lagi pun Terengganu mencatatkan jumlah rakyat miskin yang ramai, justeru kerajaan mengambil pendekatan menyalurkan terus peruntukan kepada mereka yang memerlukan di negeri itu tanpa melalui mana-mana Ahli Parlimen.

 

Perdana Menteri juga telah mengingatkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan peruntukan setiap kawasan tidak kira Pas atau Bersatu, harus diberikan kepada semua.

 

"Cuma kita tak bagi melalui ahli Parlimen, kita beri pada rakyat. Kita tumpu pada miskin, kalau miskin tegar, tak kira dia ahli parti mana, di kawasan mana, kita bantu tanpa pilihan sama ada kaum, agama, kawasan atau parti,” jelasnya.

 

Kata Anwar, beliau mengambil peluang menjelaskan hal ini setelah terus didakwa zalim meski pun Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberi penjelasan mengenainya di Parlimen. 

 

“Semasa saya menjadi pembangkang berpuluh tahun, kita tidak menerima sebarang peruntukan, termasuk ketika Umno-PAS-Bersatu menjadi kerajaan. Ketika itu tidak zalim, tetapi sekarang zalim?," katanya.- DagangNews.com