KUALA LUMPUR 12 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan kemudahan awam di Kompleks Kastam dan Imigresen (ICQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor, segera dibaik pulih.
Beliau yang mengadakan tinjauan mengejut ke kompleks berkenaan hari ini, mendapati eskalator dan pintu automatik (autogate) untuk pemegang pasport Malaysia mengalami kerosakan.
"Saya mendapati kemudahan termasuk pengangkutan awam dalam keadaan baik kecuali kerosakan eskalator dan 'autogate' untuk pemegang pasport Malaysia.
"Kekurangan ini perlu diselesaikan segera untuk kemudahan Keluarga Malaysia dan pengembara dari luar kerana ia salah satu pintu masuk utama negara," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Yang turut sama dalam tinjauan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ismail Sabri berkata, kompleks berkenaan sudah kembali beroperasi selepas sempadan negara dibuka semula sepenuhnya.
Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar turut berkenan menerima menghadap Perdana Menteri.
Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim.
Pertemuan bersama Sultan Johor itu berlangsung di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, pada hari ini. Hadir sama, Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Perdana Menteri turut diraikan dalam satu majlis santapan tengah hari bersama Sultan Johor.
Pada 20 Mei lalu, Onn Hafiz, dilaporkan melakukan penyamaran dengan menjadi pengguna yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam bagi memasuki Singapura menerusi JB Sentral.
Menerusi muat naik di akaun Facebooknya, Onn Ghazi dilaporkan berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua agensi berkaitan keesokannya bagi memperbaiki sistem keluar masuk di sempadan negara.
"Alhamdulillah, saya telah selamat pergi dan selamat kembali ke Johor. Saya lalui proses yang lazim dilalui semua.
"Insya-Allah, saya akan berjumpa dengan Pengarah Imigresen Johor, Kastam, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Penguatkuasaan Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.
"Masih banyak ruang yang boleh diperbaiki. Saya dan agensi berkenaan akan berusaha untuk memperbaikinya dengan kadar segera, demi keselamatan dan keselesaan jutaan pengguna yang mengunjunginya setiap tahun. Semoga dipermudahkan segala urusan," katanya dalam muat naik berkenaan.
Sebelum ini, pekerja Malaysia di Singapura yang berulang-alik menggunakan pengangkutan awam sering mengeluh kerana sering beratur dalam tempoh yang lama terutama ketika waktu puncak. - DagangNews.com