TOKYO 28 Ogos - Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe (gambar) dijangka letak jawatan sebelum tamat tempoh penggal pentadbirannya pada September depan dipercayai kerana masalah kesihatan.
Beliau juga difahamkan bakal membuat pengumuman pada pukul 8 malam ini, waktu Malaysia.
Menurut Reuters, perletakan jawatan Abe bakal menghentikan strategi rangsangan ekonomi negara yang didakwa akan memberi kesan positif kepada negara berkenaan.
Sejak mentadbir Jepun bermula penghujung tahun 2012, Abe telah melaksanakan pelbagai strategi ekonomi yang digelarkan ‘Abenomics’ termasuk kelonggaran kewangan berskala besar, perbelanjaan fiskal dan rombakan struktur bagi merancakkan ekonomi ketiga terbesar dunia itu selepas beberapa tahun menunjukkan pertumbuhan mendatar.
"Fokus pada masa ini adalah pada pemulihan akibat COVID-19 dan mengekang jangkitan pandemik itu, tanpa mengira siapa yang akan menjadi perdana menteri berikutnya.
"Ada ura-ura bahawa Abenomics memberi kesan yang berbahaya, jadi saya rasa titik fokusnya adalah pada cadangan bagaimana untuk membuat perubahan,” kata Ketua Ahli Ekonomi di Institut Penyelidikan Norinchukin, Takeshi Minami seperti dipetik Reuters.
Pada suku kedua 2020, ekonomi Jepun menguncup ke paras tertinggi sekali gus mendorong kemerosotan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada ¥507 trillion (RM20.03 trillion), menghampiri paras ketika 2013 dan jauh sekali dari sasaran yang diletakkan oleh Abe, ¥600 trillion.
Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi di Institut Kajian Dai-ichi Life, Yoshiki Shinke berkata, ekonomi Jepun mungkin menunjukkan prestasi lebih baik selepas pelaksanaan Abenomics, tetapi tidak cukup untuk mengubah sentimen awam sepenuhnya.
“Dengan adanya pandemik ini, pertumbuhan ekonomi Jepun makin kabur. Setelah legasi Abenomics banyak dihapuskan, kita tahu tiada keajaiban untuk membetulkan masalah ekonomi yang dihadapi Jepun,” jelas beliau. - DagangNews.com