PM kemukakan cadangan bi-partisan di Parlimen | DagangNews Skip to main content

PM kemukakan cadangan bi-partisan di Parlimen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Perdana Menteri mengemukakan 7 cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan. 

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tujuannya bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

 

"Pada masa sama, saya juga seperti anda semua, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera.

 

"Maka, saya dengan penuh takzimnya menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangan ini pada minggu hadapan," katanya dalam perutusan petang ini 'Bersama Memulihkan Negara'.

 

Beliau berkata, jemputan rasmi akan dikeluarkan kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini dan bersedia mendengar pandangan mereka berhubung cadangan tersebut.

 

"Sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, saya akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat," tegasnya.

 

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa beliau akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini. 

 

"Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara," katanya.

 

Cadangan itu merangkumi penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara, pemberian peruntukan tahunan kepada ahli parlimen dan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan mengehadkan jawatan PM kepada dua penggal,  RUU Anti-Lompat parti akan dibentangkan.

 

Selain itu, kerajaan akan memperkukuh reformasi parlimen, setuju laksana Undi18 tanpa tunggu pelaksanaan pendaftaran automatik, pembentangan RUU Perbekalan dan pengiktirafan kepada Ketua Pembangkang. - DagangNews.com