PM: Kerajaan berazam teladani inisiatif, strategi Rasulullah sebagai panduan tadbir Malaysia | DagangNews Skip to main content

PM: Kerajaan berazam teladani inisiatif, strategi Rasulullah sebagai panduan tadbir Malaysia

KUALA LUMPUR 19 Okt - Kerajaan berazam akan meneladani inisiatif dan strategi yang dilaksanakan Rasulullah SAW sebagai panduan dalam pentadbiran negara, demi kemakmuran Keluarga Malaysia.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bersandarkan ketetapan itu, pelbagai polisi, inisiatif dan insentif akan diperkenal dan dirancang kerajaan, demi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan dalam merasai nikmat serta kemakmuran negara.

 

"Dengan kepercayaan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah suri teladan yang terbaik umat manusia, kerajaan sudah dan akan meneladani kepimpinan Rasulullah," katanya dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan yang disiarkan secara langsung di TV1, di sini.

 

Mengambil contoh pentadbiran Rasulullah SAW di Madinah, Perdana Menteri berkata, Baginda menjadi ketua negara atau khalifah pada ketika itu, sekali gus berjaya membina Madinah dengan menggariskan dasar serta polisi yang jelas untuk mencapai dan mengukuhkan kestabilan negara.

 

Beliau berkata, dasar yang terkandung dalam Sahifah Madinah berjaya mewujudkan elemen kebersamaan, khususnya dalam mengatur hubungan antara masyarakat supaya hidup dalam keadaan saling menghormati, bertanggungjawab dan seterusnya menyatupadukan seluruh masyarakat Madinah sebagai satu keluarga.

 

"Kestabilan negara dari aspek kesihatan berterusan, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan berkekalan, menjadi elemen yang diberi perhatian khusus oleh Baginda sebagai khalifah Madinah," katanya.

 

Beliau berkata, kemuliaan umat Islam, malah jatuh bangun sesebuah bangsa dan negara terletak kepada kesatuan dan kesepaduannya.

 

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengajak rakyat berganding bahu sebagai Keluarga Malaysia untuk memulihkan negara, selain menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam mengharungi krisis berkembar ekonomi dan kesihatan yang mencabar ketika ini.

 

Ismail Sabri berkata, apa jua perbezaan perlu dijadikan sebagai kelebihan dan bukannya kelemahan, manakala sebarang persamaan dijadikan sebagai sumber kekuatan.

 

"Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang besar.

 

"Siapa pun kita, sama ada seorang bapa, ibu, anak, jiran, pekerja, ketua di pejabat atau pemimpin masyarakat, agama atau politik, masing-masing perlu memainkan peranan untuk memulihkan kembali negara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

PM

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu "Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti", menekankan prinsip Dasar Manhaj Rabbani iaitu rahmat, aman, bertuhan, bakti, adil, dan insani.

 

Katanya, semua nilai itu selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran, selain 20 nilai lain seperti amalan ihsan, beriman, kasih sayang dan bermusyawarah.

 

"Tema ini juga selari dengan Dasar Perpaduan Negara berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian, yang mana perpaduan dan integrasi nasional sudah lama diamalkan di negara ini termasuk dalam sambutan Maulidur Rasul.

 

"Ia dilakukan melalui penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul kepada insan yang banyak berbakti kepada masyarakat merentasi agama dan bangsa.

 

"Pengiktirafan ini secara langsung menyumbang ke arah melahirkan generasi Malaysia yang memiliki semangat perpaduan dan kebersamaan serta saling menghormati, selari dengan konsep Keluarga Malaysia," katanya.

 

Pada masa sama, Perdana Menteri berharap, sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini dapat menghasilkan keinsafan dan kecintaan umat Islam negara ini kepada Rasulullah, dengan menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia. - DagangNews.com