PM lancar Skuad Keluarga Malaysia, sedia bantu rakyat terjejas akibat pandemik | DagangNews Skip to main content

PM lancar Skuad Keluarga Malaysia, sedia bantu rakyat terjejas akibat pandemik

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di sini hari ini. 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 8 Okt. - Skuad Keluarga Malaysia dilancarkan hari ini sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia untuk memastikan tidak ada rakyat yang ketinggalan terutama di sebalik cabaran pandemik COVID-19.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui penubuhan skuad itu, ia menyaksikan penyelarasan semua mekanisme penyampaian bantuan, untuk rakyat yang memerlukan di seluruh negara di bawah satu jentera.

 

Katanya, skuad tersebut akan diterajui Jabatan Kebajikan Masyarakat, di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. 

 

Malah, penubuhan skuad itu juga merupakan kerjasama pelbagai agensi di bawah kementerian berbeza, pihak swasta dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

"Bagi pelancaran hari ini sahaja, seramai 10,000 anggota Skuad Keluarga Malaysia telah bersedia untuk digerakkan ke segenap pelusuk negara, bagi membantu rakyat yang terkesan ekoran pandemik. 

 

"Jumlah ini dijangka bertambah apabila lebih banyak kementerian dan agensi serta sukarelawan Keluarga Malaysia mendaftarkan diri," katanya. 

 

Beliau berkata demikian pada majlis prapelancaran Keluarga Malaysia hari ini. Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

 

Menurut Perdana Menteri, bagi memastikan kejayaan idea Keluarga Malaysia ini, setiap kementerian dan agensi kini sedang giat mengenal pasti produk yang bersesuaian untuk diangkat menjadi sebahagian usaha membantu rakyat. 

 

"Ini merupakan langkah untuk menyemai budaya khidmat, berorientasikan prestasi bagi meringankan beban Keluarga Malaysia, yang memerlukan bantuan dan sokongan," tambahnya.

 

Keluarga Malaysia

 

 

Beliau berkata, dalam usaha ini, kerajaan akan memastikan setiap produk Keluarga Malaysia memberi impak positif seperti yang diharapkan. 

 

Oleh itu, katanya, kerajaan turut memperkenalkan mekanisme Keberhasilan Kebahagiaan (KHO) yang juga merupakan pelengkap kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

 

"Garis panduan ini akan dibentuk berasaskan nilai sejagat sedia ada, termasuk Indeks Kebahagiaan yang diguna pakai kebanyakan negara di seluruh dunia. 

 

Menurutnya lagi, pelbagai gerak kerja dan usaha merentas kementerian dan agensi diatur bagi memudah cara
pelaksanaan program dan inisiatif, untuk rakyat dengan pantas dan berkesan. 

 

"Suka saya menarik perhatian semua, 24 hari selepas pembentukan kabinet baharu, kerajaan telah melancarkan inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

 

"Inisiatif ini melibatkan 2,000 unit rumah yang menjadi teduhan kepada Keluarga Malaysia yang kehilangan dan kekurangan pendapatan akibat pandemik COVID-19," jelas beliau. -DagangNews.com