PM letak jawatan bukan kejutan besar buat pasaran saham Malaysia - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

PM letak jawatan bukan kejutan besar buat pasaran saham Malaysia - CGS CIMB

Muhyiddin Yassin

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kemelut politik negara yang terus meruncing setelah jawatan Perdana Menteri kembali tidak ‘diisi’ bukan satu kejutan besar buat pasaran saham tempatan, menurut firma penyelidikan, CGS-CIMB Research. 

 

Ini memandangkan beberapa Ahli Parlimen UMNO sejak 7 Julai 2021 secara rasmi telah menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Firma itu tidak menolak kemungkinan bahawa pasaran ekuiti tempatan akan menjadi lemah kerana situasi ini mencetuskan ketidaktentuan terhadap kepimpinan pada masa hadapan dan landasan dasar negara. 

 

“Dalam krisis politik sebelum ini, FBM KLCI menyusut 3% atau 48 mata dalam tempoh 21 hingga 28 Februari 2020 apabila negara dikendalikan oleh Perdana Menteri interim. 

 

“Ketidaktentuan politik ini negatif buat sektor domestik seperti bank, pembinaan dan hartanah serta saham-saham dengan pemegangan saham asing. 

 

“Pengeksport seperti sarung tangan, teknologi dan perladangan dan sektor yang bertahan akan paling kurang terjejas,” jelas CGS-CIMB dalam satu nota kajian. 

 

Baca : Muhyiddin letak jawatan Perdana Menteri

 

Susulan itu KLCI dijangkakan mencecah dagangan serendah 1,415 mata ekoran kemelut politik di dalam negara.

 

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri caretaker sehingga penggantinya dilantik. 

 

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara, Agong memaklumkan baginda telah menerima surat perletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta berkuatkuasa semalam.

 

Baca : Agong berkenan Muhyiddin jadi `caretaker PM' sehingga Perdana Menteri baharu dilantik

 

''Walaupun saya pada awalnya mencadangkan supaya keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun 15 Ahli Parlimen Umno telah menarik sokongan kepada saya dan cadangan kerjasama rentas parti yang saya kemukakan telah ditolak oleh parti-parti pembangkang.

 

"Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi, tidak perlu lah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen,'' kata Muhyiddin dalam perutusan yang disiarkan di televisyen. - DagangNews.com