KUALA LUMPUR 12 Okt - Kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) bawah penyelarasan Unit Perancangan Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memastikan pencapaian hasil yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, PPD akan menjajarkan strategi dan inisiatif dengan petunjuk prestasi utama (KPI) serta kementerian dan agensi penyelaras dan pelaksana yang bertanggungjawab.
"PPD ini akan disiapkan pada November ini. Satu jawatankuasa pemantauan akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh saya sendiri untuk memantau pelaksanaan RMK-12 dengan rapi.
"Saya akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemantauan yang pertama pada pertengahan November ini," katanya ketika membentangkan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara, hari ini.
Pada masa sama, Ismail Sabri turut mengalu-alukan maklum balas daripada semua Ahli Dewan Negara berhubung cadangan pelaksanaan dasar dan strategi RMK-12 itu.
Perdana Menteri berkata, biarpun ada pihak yang ragu-ragu dengan pencapaian sasaran RMKe-12, beliau yakin matlamat itu akan dapat dicapai dengan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), wakil rakyat serta rakyat.
"Saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua pegawai kerajaan yang bekerja keras dalam penyediaan RMK-12 ini. Saya juga menyeru supaya usaha yang lebih jitu dan tersusun dapat diteruskan bagi memantau serta melaksana semua strategi dan inisiatif bawah RMK-12," katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri berkata, beliau bersyukur kerana usul RMK-12 yang dibentangkan pada 27 September lalu mendapat kelulusan Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu selain secara umum, ia disambut baik oleh semua pihak.
Beliau berkata, RMK-12 meletakkan beberapa sasaran utama bagi memastikan strategi dan inisiatif yang dilaksana dapat dinilai dari segi kejayaannya.
Katanya, antara sasaran utama adalah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025; purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira RM10,000 sebulan pada 2025.
Jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada 2025; dan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada 2005.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau merangkumkan tiga tema, empat pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan yang terkandung dalam RMK-12 bawah sembilan fokus utama.
Fokus berkenaan merangkumi, Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi; Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan; Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia; Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam; Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan; Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia; Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun; Mempercepatkan Pertumbuhan Hijau; dan Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam dan Memastikan Pelaksanaan Dasar yang Berkesan. - DagangNews.com