KUALA LUMPUR 26 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini merasmikan kompleks bangunan baharu, Media City yang kini dikenali sebagai Angkasapuri Kota Media.
Pada masa sama, Ismail Sabri turut memasyhurkan nama-nama jalan di kompleks itu sebagai Jalan Penyiaran, Jalan Lensa, Jalan Frekuensi dan Bulatan Simfoni.
Beliau berkata, pembangunan Media City merupakan antara langkah strategik kerajaan untuk merangsang perkembangan dan pembangunan industri penyiaran di negara ini.
"Saya harap, dengan adanya bangunan ini, langkah-langkah susulan dapat dibuat supaya standard penyiaran Malaysia tidak ketinggalan dan setanding dengan standard amalan di rantau ASEAN dan antarabangsa.
"Selain itu, peningkatan persaingan dengan bertambahnya penyiar dan pemain industri akan menggalakkan kerjasama yang dapat membangunkan kreativiti dan mewujudkan persaingan sihat dalam penerbitan kandungan.
"Saya berharap Media City, pada masa hadapan, akan terus dibangunkan menjadi pusat penyiaran negara dengan penyertaan dan kehadiran pelbagai penyiar tempatan di kompleks ini, mencontohi Media City di Dubai, UAE; Manchester, United Kingdom; Sydney, Australia dan Singapura," katanya ketika berucap merasmikan kompleks tersebut di sini hari ini.
Menurut Perdana Menteri, kejayaan pembangunan Media City adalah contoh kejayaan kerjasama sektor awam dan swasta yang akan diteruskan untuk projek-projek pembangunan lain dalam pelbagai bidang di negara ini bagi memastikan Malaysia membangun dengan jayanya serta memberi manfaat kepada semua pihak.
Dalam pada itu, beliau berkata, dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, pembangunan bidang penyiaran di negara ini telah mengalami pelbagai perubahan dan pembaharuan, khususnya berkait dengan medium penyampaian maklumat.
Platform konvensional dalam bidang penyiaran iaitu radio dan televisyen (TV) juga berdepan dengan persaingan sengit yang berikan oleh platform media baharu, katanya.
"Pada masa sama, bilangan syarikat swasta yang memohon lesen pengoperasian ‘Content Applications Service Providers’ (CASP) bagi mengendalikan aktiviti sebagai stesen penyiaran radio mahupun TV secara langganan atau percuma juga meningkat," katanya.
Beliau berkata, di sebalik persaingan yang semakin pesat ini, Jabatan Penyiaran Malaysia atau Radio Televisyen Malaysia (RTM), kekal sebagai perintis, pelopor dan pemangkin kepada pembangunan industri penyiaran negara.
"Bermula dengan perkhidmatan radio, RTM telah berkembang pesat meliputi TV dan kemudiannya media baharu dengan siaran di laman sesawang dan media sosial serta memperkenalkan perkhidmatan Over-The-Top atau OTTnya sendiri.
"Di bawah teraju Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), RTM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah menjayakan projek pendigitalan siaran televisyen yang menghasilkan peralihan siaran analog kepada format digital sepenuhnya," katanya.
Jelasnya, peranan RTM sebagai media rasmi kerajaan menjadi lebih dinamik berdasarkan teknologi dan kemudahan yang dimilikinya selain menjadi peneraju serta teladan kepada penyiar lain dalam menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat.
"Ini juga meningkatkan keupayaan RTM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, di samping mengekalkan ideologi dan budaya Malaysia, seperti peranan yang dipikul oleh penyiar kebangsaan lain di rantau ini termasuk Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura," katanya.
Ujarnya, sejak tahun 1968, bangunan Angkasapuri menjadi ikon penyiaran yang tersergam indah di tepi Lebuhraya Persekutuan, dan kewujudan Bangunan Media City ini akan menambah satu lagi ikon penyiaran, iaitu ikon penyiaran teknologi digital Malaysia.
"Kewujudannya turut menjadi simbolik kejayaan kerjasama strategik sektor awam dengan sektor swasta, yang mewakili pembaharuan dan sudut pandang baharu RTM iaitu menggerakkan kerjasama ke arah komersial.
"Simbol ini meletakkan RTM yang baharu pada kedudukan lebih mantap melalui perubahan imej fizikal yang drastik supaya sentiasa kelihatan segar, moden dan dinamik," katanya.
Beliau berkata, kesemua ini dapat memberi pertimbangan kepada mewujudkan sebuah Dasar Penyiaran Negara yang baharu yang mana ia boleh berasaskan dua perkara penting iaitu Keluarga Malaysia dan inklusiviti.
"Malah, ia boleh digarap menjadi sebuah model penerbitan kandungan kebangsaan seperti dipelopori oleh Hollywood di Amerika Syarikat, British Broadcasting Corporation (BBC) di Eropah, dan industri kandungan di Jepun dan Korea yang berpaksi kepada kebudayaan dan gaya hidup tempatan dengan nilai kebersamaan yang universal.
"Kehadiran Media City sebagai simbol penyiaran negara bukan sesuatu yang dihadkan kepada kewujudan sebuah bangunan secara fizikal sahaja. Teknologi yang dibawa bersama pembangunan ini wajib dioptimumkan penggunaannya dalam penghasilan kandungan, siaran radio dan televisyen yang lebih jelas di samping penyampaian maklumat dan hiburan kepada rakyat," katanya.
Katanya, kerajaan akan sentiasa menyokong inisiatif yang bersifat mesra-rakyat dan mesra-pemegang taruh dalam usaha memenuhi kehendak rakyat dan menyempurnakan amanah rakyat, di samping memberi pulangan positif kepada negara.
Tambahnya, rakyat berhak menerima maklumat yang tepat dan sahih, sebagaimana yang dijanjikan oleh RTM, selain hiburan yang berkualiti, dan tanggungjawab ini wajib disampaikan secara berterusan. - DagangNews.com