TAPAH 17 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara dasarnya telah bersetuju untuk menghapuskan hutang lapuk Felcra Berhad (Felcra) sebanyak RM233.8 juta.
Ismail Sabri berkata, walaupun beliau telah bersetuju, namun ia masih perlu dibawa ke Mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan.
"InsyaAllah, ia akan dilakukan jika saya terus diberikan kepercayaan untuk mentadbir negara.
"Saya pernah menerajui KKLW (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan Felcra berada di bawah saya, ada banyak masalah hutang bagi peserta Felcra yang tak pernah selesai dan tidak dapat diselesaikan kerana terdapat projek di bawah Felcra yang tidak berdaya maju.
"Sehingga Disember tahun lepas terdapat 323 projek dengan keluasan 22,173 hektar telah dikenalpasti sebagai projek yang kurang berdaya maju dari segi penghasilannya dalam memberi pulangan pendapatan kepada peserta.
"Saya difahamkan perkara itu oleh Pengerusi Felcra (Datuk Ahmad Jazlan Yaakub) yang memohon kepada kerajaan supaya menghapus kira hutang tersebut. Secara peribadi, saya pada dasarnya bersetuju menghapus kira hutang para peserta dan ia akan melibatkan RM233.8 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra PM Bersama Peserta Felcra, Pekebun Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Tok Batin dan Penghulu Orang Asli Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Arena Merdeka di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan Jumlah Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2022, berjumlah RM181.5 juta kepada seramai 74,949 peserta di seluruh negara berikutan kejayaan projek peserta Felcra yang telah mencatatkan keuntungan.
Beliau berkata, bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai 17 Oktober 2022 dan boleh digunakan oleh peserta Felcra untuk kegunaan pelbagai perkara.
"Saya juga gembira kerana Felcra Berhad berjaya mengekalkan prestasi yang baik apabila mencatat kenaikan hampir RM51 juta atau 38.1% berbanding prestasi pada tahun lalu, sekaligus membuktikan kecekapan Kerajaan Keluarga Malaysia dalam mengurus tadbir ekonomi negara dan sekali lagi syabas dan tahniah saya ucapkan.
Tambahnya, Felcra Berhad telah berjaya membangunkan tanah-tanah terbiar kelompok kecil dan kurang berdaya maju, menjadi sebuah estet milik peserta dengan kos pengurusan yang minimum iaitu hanya 6.5% sahaja.
"Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Felcra Berhad dalam melaksanakan pembangunan tanah terbiar apabila berjaya menaikkan nilai tanah luar bandar melebihi 204,000 hektar yang memberikan manfaat kepada lebih 103,000 peserta di seluruh negara," katanya. - DagangNews.com