KUALA LUMPUR 15 Sept - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkunjung ke Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi British di sini dan mengucapkan takziah atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Perdana Menteri turut menandatangani buku takziah sebagai penghormatan kepada Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 8 September 2022.
Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri pada 3.55 petang itu disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay dan Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.
Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi British itu.
Ratu Elizabeth II, merupakan raja pemerintah yang paling lama menduduki takhta dalam sejarah British dan kedua paling lama di dunia selepas Raja Louis XIV dari Perancis.
Sementara itu, Hay berkata beliau tersentuh dengan ucapan takziah daripada Ismail Sabri serta limpahan kasih sayang dan rasa hormat yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat.
“Adalah sesuatu yang menggembirakan apabila menerima sokongan sedemikian rupa di Malaysia semasa United Kingdom (UK) meratapi kemangkatan Baginda,” katanya, lapor Bernama.
Menurut laporan media, jasad Ratu Elizabeth II kini berada di London dan ditempatkan di Istana Buckingham sehingga istiadat pemakaman negara di Westminster Abbey pada 19 September 2022.
Jasad Ratu Elizabeth II akan disemadikan bersebelahan makam suaminya, mendiang Putera Philip. - DagangNews.com