PM ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Arshad Ayub | DagangNews Skip to main content

PM ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Arshad Ayub

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga tokoh pendidikan negara, Allahyarham Tun Arshad Ayub yang meninggal dunia pada pukul 2.06 pagi tadi.

 

Ismail Sabri menerusi catatan di Facebook berkata, beliau sedih dan sayu apabila mendapat perkhabaran tersebut.

 

Beliau berkata, negara kehilangan seorang tokoh yang sangat berjasa dan meninggalkan legasi yang tidak ternilai untuk Keluarga Malaysia. 

 

"Perginya tokoh pejuang pendidikan yang amat besar sumbangannya pada negara. Sedih dan sayu mendapat khabar ahli akademik dan pendidik terbilang, Tun Arshad Ayub meninggal dunia pada awal pagi ini. 

 

"Negara kehilangan seorang tokoh yang sangat berjasa dan meninggalkan legasi yang tidak ternilai untuk Keluarga Malaysia. Allahyarham adalah seorang pendidik berpandangan jauh yang memberi impak besar kepada pendidikan negara. 

 

"Legasi Allahyarham khususnya menubuhkan Universiti Teknologi Mara  (UiTM) telah melahirkan banyak profesional dan juga usahawan tekno Melayu di negara ini. Kini universiti tersebut telah melahirkan lebih 700,000 graduan," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, Allahyarham juga menunjukkan pencapaian yang luar biasa dalam semua bidang yang diceburi. 

 

"Beliau turut terlibat merancang agenda pembangunan negara khususnya pada era selepas kemerdekaan negara yang menjadi teras pentadbiran Tun Abdul Razak dalam memacu Dasar Ekonomi Baru (DEB). Keazaman, kebijaksanaan dan kerja keras Allahyarham tanpa mengenal erti penat lelah untuk negara serta seluruh Keluarga Malaysia wajar diteladani.

 

"Saya dan Keluarga Malaysia mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama roh orang yang beriman dan beramal soleh. Al Fatihah," katanya. - DagangNews.com