PM ucap takziah kepada keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera ke-11 | DagangNews Skip to main content

PM ucap takziah kepada keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera ke-11

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera ke-11, Jen (B) Tan Sri Dr Abdul Rahman Abdul Hamid yang meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan akibat jangkitan kuman pada paru-paru, pagi tadi.

 

Ismail Sabri menerusi catatan di Facebook rasminya hari ini berharap agar keluarga Allahyarham diberikan ketabahan menghadapi ujian ini. 

 

"Menerima perkhabaran sedih pemergian bekas Panglima Angkatan Tentera ke-11, Jen (B) Tan Sri Dr Abdul Rahman Abdul Hamid yang kembali ke Rahmatullah, di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan akibat jangkitan kuman pada paru-paru, pagi ini.

 

"Takziah saya ucapkan kepada balu Allahyarham, Puan Sri Rosilah Ahmad dan seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga diberikan ketabahan menghadapi ujian ini," katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan merakamkan jutaan penghargaan di atas segala jasa dan bakti yang dicurahkan Allahyarham sepanjang perkhidmatan di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

"Hanya Allah SWT yang dapat membalas segala jasa Allahyarham. Bersama-samalah kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," katanya.

 

Abdul Rahman, 83, menyertai ATM pada 1955 dan dilantik sebagai Panglima ATM ke-11 pada April 1992 sebelum bersara pada Februari 1994. - DagangNews.com