TAPAH 17 Okt - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan 'buah tangan' menerusi pemberian one-off sebanyak RM1,000 kepada setiap Tok Batin dan penghulu, yang melibatkan peruntukan sebanyak RM624,000.
Perdana Menteri berkata, pemberian tersebut sebagai tanda penghargaan Kerajaan Keluarga Malaysia dalam menghargai sumbangan jasa dan tenaga Batin/Penghulu dalam pembangunan dan adat warisan masyarakat Orang Asli.
Beliau berkata, kerajaan amat menghargai peranan dan kerja keras mereka dalam memastikan pentadbiran peringkat Kampung Orang Asli berjalan dengan lancar.
"Menyedari kepentingan institusi ini, kerajaan telah memperuntukkan elaun berjumlah RM6.739 juta setahun yang melibatkan seramai 624 orang Tok Batin/Penghulu di seluruh negara. Kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan pada pembangunan infrastruktur dalam kalangan orang asli, malah turut fokus kepada pembangunan ekonomi bagi masyarakat Orang Asli.
"Ini jelas dibuktikan menerusi Bajet 2023 apabila kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM2.7 juta untuk membangunkan ekonomi bagi org asli. Khusus untuk belia masyarakat asli pula, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia akan membuka sebuah pusat latihan khusus bagi belia Orang Asli di Tapah.
"Ini sekaligus membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan sumbangan masyarakat Orang Asli yang merupakan sebahagian daripada Keluarga Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra PM Bersama Peserta Felcra, Pekebun Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Tok Batin dan Penghulu Orang Asli Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Arena Merdeka di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Risda merupakan agensi penting kepada Keluarga Malaysia dalam membangun dan menaik taraf hidup lebih 500,000 pekebun kecil melalui pelbagai pendekatan program pembangunan.
Beliau berkata, Risda bukan sahaja memajukan industri getah seluas 1 juta hektar tetapi turut memastikan kemajuan keluarga pekebun kecil yang berjumlah hampir 1 juta orang.
"Berdasarkan perangkaan, peruntukan yang diperakukan kepada Risda dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) adalah sejumlah RM3.019 bilion bermula tahun 2021 hingga 2025, manakala subsidi program tanam semula yang disalurkan kerajaan meningkat kepada RM13,710 sehektar di Semenanjung, berbanding dahulu hanya berjumlah RM9,230 sehektar.
"Bagi mengukuhkan ekonomi Keluarga Malaysia pekebun kecil, RISDA turut mengadakan pelbagai program termasuk program Aktiviti Ekonomi Belia yang menggalakkan anak pekebun kecil berusia 18 hingga 40 tahun menceburi industri keusahawanan," katanya.
Dalam RMKe-12 katanya, Risda diperuntukkan sejumlah RM269 juta dengan sasaran 77,183 orang pekebun kecil akan menerima manfaat keusahawanan.
"Justeru, saya yakin hasrat Risda untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil pada tahun 2025 kepada RM4,500 sebulan sekeluarga, boleh dicapai dengan pelbagai pendekatan pembangunan yang dilaksanakan secara menyeluruh.
"Bagi pekebun kecil Risda, bantuan berupa geran sekali bayar atau ‘one-off’ berjumlah RM15,000 dengan pecahan RM10,000 untuk pembelian peralatan dan RM5,000 untuk tujuan latihan, telah disediakan untuk golongan belia pekebun kecil," katanya.
Tambahnya, beliau juga difahamkan, di bawah Rancangan Tanam Semula Komersial (TSK) yang diurus Risda melibatkan kawasan seluas 18,667.83 hektar dengan jumlah peserta seramai 13,357 orang, telah berjaya menikmati hasil dividen yang membanggakan.
"Berikutan itu, sejumlah RM73.2 juta dividen Risda TSK telah diagihkan kepada peserta pada purata RM5,480.38 sehektar seorang bagi tempoh yang berakhir sembilan bulan pertama tahun ini. Tahniah saya ucapkan kepada Risda," katanya. - DagangNews.com