PM umum barisan 'kabinet Berorientasikan Hasil' bekerja bersama rakyat | DagangNews Skip to main content

PM umum barisan 'kabinet Berorientasikan Hasil' bekerja bersama rakyat

PUTRAJAYA 27 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan senarai barisan 'Kabinet Berorientasikan Hasil' melibatkan 31 menteri termasuk empat menteri kanan yang akan menjadi pasukan pengurusan yang bekerja bersama rakyat.

 

Tanpa memegang sebarang portfolio serta tidak menamakan timbalan perdana menteri, Ismail Sabri menyenaraikan kembali kebanyakan menteri penuh yang berkhidmat di bawah kepimpinan Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan 38 timbalan menteri.

 

Ketika mengumumkan barisan kabinetnya di Perdana Putra di sini, Ismail Sabri berkata pembentukan Kabinet itu merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.

 

"Kabinet ini  perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik," katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen nasional pagi ini, lapor Bernama.

 

Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di
Istana Negara pada 21 Ogos.

 

BACA : KABINET BAHARU MESTI AMALKAN BUDAYA KERJA BERPRESTASI TINGGI, KATA PM 

 

Tiga menteri kanan di bawah pimpinan Muhyiddin dikekalkan portfolio masing-masing iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,  Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin kecuali Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang “berubah portfolio” daripada Menteri Kanan Luar Negeri kepada Menteri Pertahanan. - DagangNews.com