PMI sektor pembuatan menurun kepada 50.1 pada Mei 2022 | DagangNews Skip to main content

PMI sektor pembuatan menurun kepada 50.1 pada Mei 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jun - Indeks Pengurus Pembelian (PMI) bagi sektor pembuatan Malaysia mencatatkan penurunan kepada 50.1 pada Mei 2022 berbanding 51.6 pada April 2022 akibat penurunan permintaan baharu di dalam pasaran semasa. 

 

MIDF Research berkata, pengilang menyatakan bahawa kenaikan harga dan kekurangan bekalan adalah faktor yang melembapkan permintaan dan kapasiti pengeluarannya.

 

"Berdasarkan kepada situasi semasa yang menyaksikan permintaan yang semakin menurun, pengilang mengambil keputusan mengurangkan jumlah pengeluaran untuk bulan kelima berturut-turut.

 

"Kesan daripada penurunan itu membuatkan kadar penggunaan tenaga kerja menjadi sederhana dibebani dengan cabaran berterusan bagi pengambilan pekerja asing," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, gangguan dalam rantaian bekalan turut menjejaskan firma pengeluar barangan ditambah dengan penutupan beberapa bandar di China menyebabkan lebih banyak kekurangan bahan mentah serta selain kapasiti pengangkutan yang terhad. 

 

Katanya, tekanan harga terus memberi kesan kepada pengilang tempatan akibat kekangan bekalan membawa kepada kos input yang lebih tinggi dan kilang tidak mempunyai pilihan selain meningkatkan harga jualan.

 

Firma itu berkata, prospek masa hadapan pengilang bagaimanapun dijangka bertambah baik dengan pengurangan sekatan pergerakan yang membawa kepada permintaan serta bekalan yang lebih baik.

 

"Pada masa hadapan, kami menjangkakan permintaan domestik dan antarabangsa selain bekalan menjadi lebih baik didorong oleh pembukaan semula ekonomi Malaysia.

 

"Bagaimanapun, kenaikan kos dan kekurangan bekalan akan terus memberi kesan kepada perniagaan domestik dan berpotensi menyebabkan harga jualan meningkat," katanya. - DagangNews.com