PMI sektor pembuatan turun kepada 49.6 pada Mac 2022, terendah dalam tempoh 6 bulan | DagangNews Skip to main content

PMI sektor pembuatan turun kepada 49.6 pada Mac 2022, terendah dalam tempoh 6 bulan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - Indeks Pengurus Pembelian (PMI) bagi sektor pembuatan menurun kepada 49.6 pada Mac berbanding 50.9 pada Februari 2022 sekali gus merekodkan catatan terendah dalam tempoh enam bulan.

 

Kenanga Research berkata, penurunan itu mencerminkan kelemahan dalam aktiviti pembuatan akibat kekurangan bahan mentah yang berterusan dan kenaikan harga yang disebabkan peningkatan kes COVID-19 pada bulan itu.

 

Penurunan itu juga disebabkan oleh strategi sifar-Covid China yang menyaksikan beberapa bandar utama ditutup sekali gus memberi tekanan kepada rantaian bekalan global yang menjurus kepada kenaikan kos perniagaan serta harga pengguna. 

 

"Penghasilan dan tempahan pesanan baharu juga menurun menjadi sederhana berikutan peningkatan COVID-19, kenaikan bahan mentah dan permintaan yang semakin kurang sama ada domestik atau global.

 

"Kekurangan kapisiti logistik dan kekurangan kontena juga memberi tekanan kepada sektor pengeluaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu juga melihat, sektor pembuatan akan terus berdepan risiko termasuk krisis Rusia-Ukraine yang berterusan, peningkatan harga komoditi, kekurangan tenaga kerja dan strategi sifar-COVID China boleh menjejaskan pemulihan akibat gangguan rantaian bekalan global.

 

Katanya, keadaan itu akan memberikan tekanan kepada harga dan kelewatan penghantaran seterusnya mengehadkan pengeluaran.

 

"Bagaimanapun, sektor pembuatan dijangka mendapat sokongan daripada peningkatan permintaan domestik hasil daripada perbelanjaan fiskal kerajaan yang besar, penarikan sekatan COVID-19 dan pembukaan semula sempadan dengan kadar vaksinasi tinggi," katanya.

 

Firma itu berkata, sektor itu kekal optimis dengan penarikan semula sekatan pergerakan COVID-19 akan membantu kepada pemulihan permintaan namun kebimbangan masih ada akibat krisis Rusia-Ukraine.

 

"Selepas mengambil kira semua perkara, kami menyemak turun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2022 kepada 5.0% hingga 5.5% berbanding 5.5% hingga 6.0% dan ia adalah lebih rendah berbanding unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak 5.3% hingga 6.3%," katanya. - DagangNews.com