PMINT bangunkan empat projek perumahan komersial bernilai RM82.8 juta di Terengganu | DagangNews Skip to main content

PMINT bangunkan empat projek perumahan komersial bernilai RM82.8 juta di Terengganu

Perumahan Residensi Tembesu, Kuala Nerus yang dibangunkan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri. - Gambar PMINT
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 12 Jun - Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri (PMINT) kini sedang membangunkan empat projek perumahan komersial bernilai RM82.8 juta di empat daerah di Terengganu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman berkata, projek berkenaan melibatkan sebanyak 223 unit rumah pelbagai jenis bagi menampung permintaan pasaran di Terengganu.

 

Empat projek tersebut ialah di Residensi Tembesu, Kuala Nerus melibatkan 96 unit rumah dengan nilai keseluruhan RM38.3 juta.

 

"Kita juga ada 68 unit rumah di Perumahan KP Perdana Fasa 7, Kuala Terengganu yang bernilai RM26.45 juta serta 36 unit rumah di Bandar Baru Kerteh, Kemaman bernilai RM9.4 juta.

 

"Selain itu, kita turut membina 23 unit rumah bernilai RM8.6 juta di Seberang Paka, Dungun," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.


 

Wan Adnan Wan Derahman
                  Wan Adnan Wan Derahman

 


PMINT yang ditubuhkan pada 1 April 1965 di bawah Enakmen Kerajaan Negeri Terengganu bertujuan menjadi agensi utama negeri yang melaksanakan dan mempercepatkan pembangunan serta kemajuan sosio ekonomi pelbagai industri seperti perkilangan, pertanian dan hartanah.

 

Wan Adnan berkata, selaku peneraju dalam industri hartanah di Terengganu, pihaknya sentiasa meninjau potensi yang ada untuk membangunkan lebih banyak projek perumahan komersial terutama yang bernilai lingkungan RM350,000 hingga RM500,000.


 

pmint
Perumahan Bandar Baru Kerteh, Kemaman

 


"Permintaan sangat tinggi terutama di kawasan Kerteh yang terkenal dengan industri petroleum dan gas kerana penduduk di kawasan itu memiliki kuasa beli yang tinggi.

 

"Kewujudan projek perumahan yang lengkap dengan kemudahan asas serta infrastruktur seperti unit perkedaian, sekolah serta pusat membeli belah menyebabkan permintaan di kawasan itu melonjak," katanya.


 

parafrasa
Perumahan Seberang Paka, Dungun

 


Dalam pada itu, Wan Adnan berkata, PMINT juga komited membantu kerajaan membangunkan projek Perumahan Mampu Milik untuk golongan berpendapatan rendah di Terengganu.

 

"Setakat ini, sebanyak 18,808 unit rumah telah dibina melalui 158 projek hasil peruntukan daripada PMINT, Jabatan Perumahan Negara dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

 

"Sejak 2018, seramai 1,217 pemohon telah menerima rumah masing-masing dan pada tahun ini  seramai 266 pemohon telah memiliki rumah RMM yang dibina.


 

parafrasa
Perumahan KP Perdana Fasa 7, Kuala Terengganu

 


"Jangkaan penerima baki rumah pada tahun ini adalah seramai 217 orang bagi keseluruhan projek di Terengganu," katanya yang memberitahu PMINT juga telah menerima Sijil Penghargaan Pelaksanaan OACP (Pelan Anti Rasuah Organisasi) pada Ogos lalu. - DagangNews.com