PNB, KWSP dan KWAP labur RM2 bilion dalam aset industri berteknologi tinggi, Kulim II | DagangNews Skip to main content

PNB, KWSP dan KWAP labur RM2 bilion dalam aset industri berteknologi tinggi, Kulim II

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Okt - Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menandatangani perjanjian transaksi jual dan pajakan balik bernilai RM2 bilion dengan Osram Opto Semiconductors Sdn. Bhd. dalam aset industri berteknologi tinggi di Kulim II.

 

Urus niaga itu dijangka dimuktamadkan pada Disember 2023 dengan kesemua pelabur akan memiliki pegangan sama rata sebanyak 33.3%.

 

Urus niaga itu menawarkan peluang unik untuk PNB, KWSP dan KWAP untuk melabur dalam aset sebenar industri berkualiti tinggi dan berspesifikasi tinggi di Malaysia yang memberikan pulangan yang kompetitif.

 

Pelaburan adalah untuk tempoh 10 tahun dengan strategi keluar yang jelas.

 

Di samping itu, pelaburan itu memangkin Pelaburan Langsung Asing (FDI) dengan membolehkan rakan kongsi kami menggunakan lebih banyak modal di Malaysia.

 

"Ia sejajar dengan matlamat rangka kerja ekonomi Madani, yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan daya saing global, menghasilkan pelaburan pertumbuhan berimpak tinggi untuk negara.

 

"Tambahan pula, ia selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP30), dengan objektifnya untuk memajukan kerumitan ekonomi. 

 

"Suntikan modal kepada sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) membolehkan Osram, peneraju global, menubuhkan kemudahan pembuatan LED 8-inci dan mikro LED automatik sepenuhnya yang pertama di dunia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kemudahan itu akan memupuk pembangunan ekosistem bagi menyokong aktiviti nilai tambah tinggi seperti fabrikasi semikonduktor. 

 

Ia menggariskan visi Malaysia bagi menjadi hab pembuatan berteknologi tinggi terkemuka yang akan meremajakan jenama ‘Buatan Malaysia’.

 

Bagi produk yang dikeluarkan di Kulim II, Osram akan menyumbang kepada matlamat negara bagi mengembangkan eksport pembuatan berteknologi tinggi dan mewujudkan kehadiran global, yang mengukuhkan peluang pekerjaan tambahan di negara ini dalam bidang sains dan semikonduktor berteknologi tinggi- DagangNews.com