Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mohd Nizam Yahya menyampaikan watikah kepada Pengerusi ASNB Wakalah Sdn. Bhd (AWSB), Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin dalam majlis penyerahan watikah pelantikan AWSB sebagai Mutawalli yang diadakan di pejabat MAIWP baru-baru ini disaksikan Pengerusi MAIWP, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.
KUALA LUMPUR 25 Okt. – Permodalan Nasional Bhd. (PNB), menerusi syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB), memperkenalkan perkhidmatan baharu Wakaf ASNB hari ini yang membuka peluang kepada pelabur untuk membuat pelaburan sambil beramal.
Transaksi minimum Wakaf ASNB adalah sebanyak RM1,000 bagi unit amanah harga tetap dan harga berubah harga silam, manakala 1,000 unit minimum bagi unit amanah harga berubah harga hadapan.
Perkhidmatan tersebut menyatukan konsep pelaburan dunia dan akhirat bagi membolehkan pelabur ASNB mewakafkan unit amanah mereka untuk manfaat kepada komuniti secara berterusan.
Wakaf ASNB berkonsepkan wakaf muabbad iaitu wakaf berkekalan yang mengambil pendekatan untuk menyimpan modal dana wakaf bagi menghasilkan potensi pulangan setiap tahun.
Pulangan itu kemudian akan disalurkan kepada projek-projek wakaf dalam sektor kesihatan, pendidikan, pemerkasaan komuniti dan misi kemanusiaan.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, dengan memperkenalkan Wakaf ASNB, ia merupakan
langkah proaktif PNB untuk memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia, selaras usaha kerajaan mewujudkan Pelan Induk Wakaf Nasional.
“Wakaf ASNB juga menjadi pelengkap kepada khidmat perancangan kewangan ASNB, merangkumi pelaburan yang pelbagai, serta kemudahan perwarisan melalui Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wakaf ASNB adalah hasil kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang telah melantik ASNB sebagai Mutawalli iaitu pentadbir aset wakaf menerusi anak syarikat ASNB, ASNB Wakalah Sdn. Bhd (AWSB).
Pelantikan ini membolehkan AWSB mengurus dan mengagihkan dana wakaf secara telus dan lancar ke projek-projek pembangunan ummah dan masyarakat bagi pihak pewakaf.
Pada majlis penyerahan watikah pelantikan AWSB sebagai Mutawalli yang diadakan di pejabat MAIWP baru-baru ini, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya telah menyampaikan watikah kepada Pengerusi AWSB, Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin.
Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar; Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn dan Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin.
Kini semua pemegang unit Akaun Dewasa ASNB berbilang kaum boleh mewakafkan unit amanah mereka menerusi perkhidmatan Wakaf ASNB mulai hari ini di semua cawangan ASNB seluruh negara.
Transaksi wakaf di portal dan aplikasi mudah alih myASNB akan bermula pada 1 November 2021 bagi semua dana ASNB, kecuali ASN Imbang 1 mulai 1 Disember 2021. -DagangNews.com