PNB umum agihan pendapatan 2.74 sen seunit ASN Imbang 1 | DagangNews Skip to main content

PNB umum agihan pendapatan 2.74 sen seunit ASN Imbang 1

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 29Nov -  Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 2.74 sen seunit bagi unit amanah harga berubah, ASN Imbang (Mixed Asset Balanced) 1 (ASN Imbang 1) untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2021.

 

PNB berkata, pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM27.46 juta itu bakal memanfaatkan 44,752 pemegang unitnya dengan pelaburan berjumlah 1.00 bilion unit. 

 

Katanya, pengagihan tersebut adalah bersamaan hasil dividen sebanyak 2.85%, berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) terkini dana.

 

"Setakat 26 November 2021, ASN Imbang 1 mencatatkan jumlah pulangan sebanyak 6.92%, mengatasi penanda aras 50% Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan 50% Deposit Tetap 12 Bulan Maybank sebanyak 7.13%," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Ujarnya, dalam tempoh yang sama, ASN Imbang 1 mencatatkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM31.20 juta, sebahagiannya didorong oleh strategi kepelbagaian pelaburan ke pasaran antarabangsa. 

 

"Sehingga kini, dana ini memperuntukkan sekitar 21% daripada asetnya dalam ekuiti global yang menyumbang 61% kepada pendapatan kasar. 

 

"PNB akan meneruskan momentum usaha mempelbagaikan portfolionya agar institusi ini dapat memberikan pulangan yang mampan kepada para pemegang unit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASN Imbang 1 adalah berdasarkan unit yang dipegang dan NAB dana pada 26 November 2021.

 

"Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Disember 2021.

 

"Urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB untuk ASN Imbang 1 telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 26 hingga 30 November 2021 bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan. 

 

"Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka di portal myASNB (www.myasnb.com.my), melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Disember 2021," katanya. -DagangNews.com