Polis sahkan penahanan pengasas bersama MYAirline, Goh Hwan Hua bersama 2 ahli keluarga | DagangNews Skip to main content

Polis sahkan penahanan pengasas bersama MYAirline, Goh Hwan Hua bersama 2 ahli keluarga

Goh Hwan Hua merupakan pemegang saham majoriti MYAirline melalui firma swastanya Zillion Wealth dan Trillion Cove Holdings. - Gambar/FMT

KUALA LUMPUR 18 Okt - Polis mengesahkan penahanan pengasas bersama dan pemegang saham majoriti MYAirline Sdn Bhd, Goh Hwan Hua bersama dua ahli keluarganya semalam.

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ramli Yoosuf berkata, polis telah mendapatkan reman empat hari bagi ketiga-tiga suspek.

 

Ketiga-tiga mereka ditahan di kediaman mereka di Shah Alam semalam, lapor Sin Chew Daily.

 

Mereka ditahan bagi memudahkan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

 

BACA JUGA: MYAirline gantung operasi mulai 12 Oktober 2023 sehingga penstrukturan, permodalan semula syarikat

 

Pada 12 Oktober lalu, MYAirline mengumumkan bahawa ia telah menggantung operasi berkuat kuasa serta-merta kerana "cabaran kewangan yang teruk".

 

Hwan Hua memiliki firma swasta Zillion Wealth dan Trillion Cove Holdings, yang masing-masing mempunyai kepentingan 88% dan 10%, dalam syarikat penerbangan itu.

 

BACA JUGA: Rayner Teo letak jawatan sebagai CEO MYAirline berikutan masalah kesihatan

 

Baki 2% saham dimiliki oleh Rayner Teo, yang telah berundur sebagai ketua pegawai eksekutif awal minggu lalu atas sebab kesihatan. - DagangNews.com