Pop Art Pop Up (PAPU) di Publika perkenalkan karya seni mampu milik daripada artis tempatan dan serantau | DagangNews Skip to main content

Pop Art Pop Up (PAPU) di Publika perkenalkan karya seni mampu milik daripada artis tempatan dan serantau

POP ART POP UP atau lebih dikenali sebagai PAPU adalah lorong sempit yang dipenuhi oleh karya-karya seni unik di Publika, Kuala Lumpur.

TERLETAK di satu sudut di Level 2 (G3), Publika, POP ART POP UP atau lebih dikenali sebagai PAPU adalah lorong sempit yang dipenuhi oleh karya-karya seni unik pelbagai gaya hasil kerja artis muda dan artis baru terbaik di Malaysia.

 

Pemilik dan kurator PAPU, Nicholas Siau atau Nemo berkata, objektif  inisiatif itu adalah untuk menjual pop art mampu milik kepada generasi muda yang sememangnya meminati seni tetapi merasa `takut’ kepada dunia seni.

 

PAPU juga menyasarkan masyarakat umum yang ingin menghiasi ruang mereka dengan karya seni menarik pada bajet yang terhad.

 

“PAPU menawarkan bermacam-macam jenis karya seni dan saya telah memilih setiap satunya berdasarkan cita rasa saya sendiri. Tiada satu pun karya seni yang ada di sini yang saya tidak akan beli sendiri.

 

‘’Setiap karya seni yang dipamerkan adalah unik dan mempunyai kisah mereka sendiri. Walaupun misi saya adalah untuk membuka jalan dan menggalakkan orang muda di Malaysia untuk mengenali dunia seni tempatan yang semakin berkembang, namun ingin saya tekankan bahawa PAPU dicipta sebagai ruang yang mengalu-alukan kedatangan semua orang.

 

‘’Dari mula tercetusnya idea ini, sampai sekarang, konsepnya adalah sentiasa mesra rakyat,” ujar Nemo yang berusia 28 tahun.

 

PAPU telah dilancarkan pada 2018 sebagai satu gerakan seni dan sehingga ke hari ini, ia telah mengumpul lebih daripada 500 karya seni yang dipamerkan dalam pelbagai saiz dan harga.

 

Sesuai dengan namanya, PAPU menawarkan lebih banyak karya seni grafiti dan seni jalanan kerana hasil kerja sebegini jarang dipamerkan di dalam mana-mana galeri di Malaysia.

 

Menampilkan nama-nama seperti Adeputra Masri, Badrulzzaman Abu, Nazmi Ismail, Syukur Rani, Chris Tan, Haris Ribut, Fritildea, Aesmo Roc, Jefr dan artis-artis yang sedang meningkat naik seperti Sanan Anuar, Oli dari Indonesia dan Koh Kai Ting yang berada di Singapura, PAPU sesuai digambarkan sebagai ruang kedai untuk seni.


 

Nicholas Siau atau Nemo
                                                    Nicholas Siau atau Nemo

 


“Ini bukanlah satu galeri. Garis panduan yang dikenakan oleh galeri tidak sesuai digunakan di PAPU. PAPU lebih mesra, santai dan suasananya lebih terbuka.

 

‘’Ini bukanlah satu konsep yang baru. Ia pernah dilakukan sebelum ini tetapi apa yang kita ada sekarang sedikit berbeza.

 

‘’Kami menyediakan ruang yang didedikasikan sebagai ruang rehat untuk digunakan sebagai tempat pengunjung dapat berdiskusi mengenai seni dengan rakan-rakan mereka atau peminat seni yang lain.

 

‘’Kami ingin membina satu komuniti yang berkongsi minat yang sama sambil memberi sokongan kepada projek-projek yang dijalankan oleh penggiat seni yang lain,” jelas Nemo.

 

PAPU bukan setakat menawarkan karya seni, tetapi PAPU juga mempamerkan produk artisanal seperti tanaman di dalam pasu yang direka dan dihasilkan oleh artis bernama Heichala, hamparan daripada RugMeBuddy, Kemeja T dan beg tote dari Kedai Bogus dan pin dari Pantun Pins.


 

nemo

 


Sebagai kurator, Nemo senantiasa memastikan PAPU mempunyai kepelbagaian produk, kini, zine hasil nukilan penulis indie tempatan serta perabot turut ada dijual di sini.

 

Menurut Nemo, “Dengan bermacam-macam jenis pengunjung yang kami temui di PAPU, ia merupakan satu tugasan yang mencabar untuk memastikan yang kami mempunyai sesuatu untuk setiap orang yang datang.

 

‘’Kami telah menerima pengunjung yang terdiri daripada peminat seni, pereka hiasan dalaman, pemuzik, pelajar sehinggalah pekerja pejabat yang hanya datang untuk mencuci mata,’’ ujarnya.

 

‘’Kadang-kadang pembeli yang membeli karya seni untuk pertama kali akan terkejut apabila mereka mengetahui yang kami ada menjual karya seni serendah RM70 (siap untuk digantung) dan kemudiannya saya perasan yang mereka akan datang semula untuk dapatkan lagi banyak benda.

 

‘’Sambutan yang diterima adalah bagus tetapi saya ingin lagi ramai yang datang ke PAPU untuk melihat sendiri apa sebenarnya PAPU ini.”


 

nemo

 


Seringkali menyajikan program yang menarik dan interaktif, PAPU juga menganjurkan pameran mini setiap bulan yang telah bermula dari Februari 2022 dengan tema ‘KEKASIH’.

 

Pada 27 Mac 2022, PAPU akan memulakan satu lagi pameran mini yang berjudul ‘ROHANI’ dalam satu kolaborasi bersama JCPR untuk menyambut ketibaan bulan Ramadan.

 

Pameran ini akan menampilkan 10 artis yang akan mempamerkan karya mereka yang diilhamkan berdasar tema kerohanian serta elemen ketuhanan yang lain.

 

“Sejujurnya, apa yang saya harap adalah untuk menyediakan satu platform kepada para artis untuk menjual hasil karya mereka.

 

‘’Menerusi PAPU, lebih ramai rakyat Malaysia akan membuka minda mereka terhadap idea untuk memiliki dan mengumpul karya seni kerana jika mereka mampu membeli sepasang kasut sneakers berjenama, mereka sememangnya mampu membeli karya seni.


 

nemo

 


‘’Saya percaya harga yang berpatutan merupakan langkah pertama yang penting bagi ekonomi seni, dan menerusi PAPU kita akan mempunyai industri seni yang kian membesar dan ini membuka ruang kepada lebih ramai peminat, lebih ramai pembeli dan pengumpul serta lebih ramai artis baru dan lebih banyak galeri baru, segala-galanyalah lebihlah!” ujar Nemo.

 

PAPU akan berada di Publika sehingga Disember 2022. Ia dibuka setiap hari dari 11 pagi ke 10 malam. Pameran mini ‘ROHANI’ bermula pada 27 Mac 2022. Ikuti PAPU di Instagram @papu.mykl. – DagangNews.com