PopWonders bantu PKS terajui perniagaan langganan digital | DagangNews Skip to main content

PopWonders bantu PKS terajui perniagaan langganan digital

PopWonders

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Platform digital PopWonders menjadi pasaran sosial e-dagang pertama yang mengfokuskan kepada langganan produk dan perkhidmatan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memulakan perniagaan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasasnya, Sean Leong berkata, platform tersebut dilihat mampu membantu usahawan untuk melancarkan perniagaan berbentuk langganan.

"Usahawan atau peruncit boleh menyenaraikan produk dan menggunakan sistem dalaman secara percuma. Kami mengautomasikan pemprosesan dan transaksi langganan untuk usahawan dalam talian dan mengenakan sedikit bayaran kepada pelanggan untuk setiap transaksi.

"PopWonders juga menyediakan perkhidmatan pengurusan inventori, penghantaran dan bantuan pembinaan jenama dengan bantuan individu berpengaruh dan lain-lain lagi," jelas Leong dalam satu kenyataan hari ini.

Model perniagaan berbentuk langganan menerusi PopWonders itu dibangunkan berasaskan kitaran bulanan yang dilihat mampu menjana pendapatan tetap menerusi perniagaan lestari.

 Sean Leong
 Sean Leong

 

Platform tersebut tidak terhad kepada produk sahaja, sebaliknya menawarkan perkhidmatan langganan yang semakin popular dalam industri e-dagang.

Tambah Leong, platform tersebut membuka ruang kepada orang ramai untuk menjual pelbagai jenis produk secara dalam talian tanpa perlu menyediakan platform perniagaan sendiri.

"Kami bukan hanya mengharapkan peluang jualan yang tinggi, malah usahawan juga dapat menjana pendapatan yang berterusan melalui hubungan baik antara usahawan dan pelanggan mereka," tambah Leong lagi.

PopWonders juga bakal melancarkan Akademi Langganan yang bertujuan untuk memberi panduan memulakan perniagaan berasaskan langganan.

Akademi tersebut juga menyediakan bantuan kemahiran untuk membantu usahawan membina pelan perniagaan yang lebih lestari. - DagangNews.com