KUALA LUMPUR 31 Jan - AmInvestment Bank kekal positif terhadap tinjauan jangka panjang Sunway REIT, disokong oleh portfolio pelaburan terpelbagainya yang merangkumi pusat beli-belah runcit, hotel, pejabat, universiti dan hospital di seluruh Malaysia.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu berkata, selain itu kadar penghunian kukuh yang telah melebihi 90% dalam aset runcit; dan dendapatan sewa yang menguntungkan yang dijana daripada segmen perkhidmatan dan industri, yang mengurangkan risiko penurunan segmen hotel dan runcit juga menjadi pemangkin kepada pengukuhan prestasi Sunway REIT pada masa depan.
"Kami mengekalkan syor 'BELI' bagi Sunway REIT dengan nilai saksama tidak berubah sebanyak RM1.66/saham.
"Penilaian kami untuk Sunway REIT adalah berdasarkan hasil pengagihan sasaran sebanyak 5% berbanding pendapatan pengagihan FY23F," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Namun, AmInvestment mengurangkan pendapatan pengagihan FY22F sebanyak 18% kepada RM197 juta daripada RM241 juta tetapi mengekalkan pendapatan FY23F.
"Ini adalah selepas mengambil kira pengembalian sewa yang mendatar pada FY22 kerana sesetengah penyewa mungkin masih memerlukan sokongan sewa dalam tempoh terdekat," katanya.
Pendapatan pengagihan 18MFY21 Sunway REIT sebanyak RM222 juta adalah melebihi jangkaan bank pelaburan itu dan konsensus.
Ia menyumbang 119% daripada ramalan setahun penuh AmInvestment sebanyak RM186 juta.
"Perbezaan utama kepada unjuran kami adalah disebabkan terutamanya oleh pendapatan sewa kasar yang lebih tinggi daripada jangkaan," katanya.
Hasil kasar Sunway REIT termasuk pendapatan sewa tidak direalisasi meningkat 48% QoQ kepada RM157.8juta pada 6QFY21 daripada RM106.9juta dalam 5QFY21 didorong sebahagian besarnya oleh segmen runcit dan hotel.-DagangNews.com