Pos Malaysia dijangka raih keuntungan lebih tinggi selepas tingkatkan pelaburan terhadap kesejahteraan pekerja | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia dijangka raih keuntungan lebih tinggi selepas tingkatkan pelaburan terhadap kesejahteraan pekerja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jun - Pos Malaysia Bhd dijangka meraih keuntungan lebih tinggi apabila meningkatkan pelaburannya dalam kesihatan dan kesejahteraan pekerja melalui inisiatif FIT.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Charles Brewer berkata, pihaknya akan mendapat manfaat daripada produktiviti yang lebih tinggi dan kewangan yang lebih baik.

 

"Pekerja yang sejahtera akan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan dan seterusnya memberi keuntungan kepada syarikat itu.

 

 

"Mempunyai pekerja yang bermotivasi tinggi adalah bahagian penting dalam strategi berfokuskan transformasi dan kami melaksanakannya dengan memastikanwujudnya persekitaran yang baik dan selamat di mana pasukan boleh berkembang maju," katanya semasa menyampaikan ucapan penting pada majlis pelancaran FIT di ibu pejabat Pos Malaysia.

 

Dengan kerjasama syarikat kesihatan dan kesejahteraan digital Naluri, inisiatif itu akan disampaikan melalui platform mudah alih Kyzense dengan penglibatan pekerja Pos Malaysia.

 

pos

 

Penyepaduan ciri ramalan dan pencegahan kesejahteraan Naluri ke dalam Kyzense akan membantu memastikan kakitangan Pos Malaysia mendapat maklumat tentang isu kesihatan.

 

Selain itu, kecerdasan buatan (AI) turut digabungkan dalam FIT bagi menangani kecergasan fizikal, diet, kesejahteraan mental, serta pengurusan penyakit kronik.

 

Pos Malaysia kekal berdedikasi untuk menambahbaik dan meningkatkan kesejahteraan dengan memastikan setiap pekerja mempunyai sumber serta sokongan yang diperlukan untuk berkembang maju, secara peribadi dan profesional.

 

Pos Malaysia memulakan tahun dengan kerugian bersih yang lebih rendah sebanyak RM19.69 juta bagi keputusan suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) berbanding kerugian bersih RM27.66 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

pos

 

Kerugian bersih kumpulan itu mencerminkan kerugian asas sesaham sebanyak 2.52 sen sesaham berbanding 3.53 sen sesaham pada 1QFY24.

 

Peningkatannya dikatakan didorong hasil yang lebih tinggi, ditambah dengan kos jualan serta perbelanjaan operasi yang lebih rendah.

 

Kumpulan itu merekodkan pendapatan lebih tinggi sedikit sebanyak RM491.97 juta, peningkatan 2.01% tahun ke tahun, daripada RM482.27 juta sebelumnya.

 

Sehubungan itu, Pos Malaysia kekal optimis dan berhati-hati untuk menyampaikan keputusan yang lebih baik bagi tahun kewangan semasa.

 

"Melalui hasil yang dipertingkatkan, tumpuan berterusan untuk mengoptimumkan aset kami dan kawalan kos yang ketat, kami telah berjaya mengharungi cabaran sambil memanfaatkan banyak peluang yang ada," kata Brewer.- DagangNews.com