Pos Malaysia lancar platform insurans dalam talian | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia lancar platform insurans dalam talian

Pos Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Pos Malaysia mempelbagaikan penawaran runcit digitalnya dengan melancarkan platform insurans dalam talian yang baharu.

 

Pos Malaysia berkata, platform yang telah tersedia itu membolehkan pelanggan memperbaharui insurans kenderaan bermotor pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui aplikasi mudah alih Pos Malaysia tanpa perlu melakukan transaksi bersemuka di kaunter.

 

"Bagi tujuan memperbaharui insurans kenderaan bermotor secara dalam talian, pelanggan hanya perlu menyediakan nombor MyKad, nombor pendaftaran kereta dan maklumat lain yang diperlukan untuk menerima sebut harga premium insurans mereka.

 

"Pelanggan akan menerima polisi insurans mereka melalui e-mel setelah menyelesaikan pembayaran secara dalam talian melalui kad kreditm kad debit, e-wallet atau melalui pembayaran dalam talian FPX," jelas Pos Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Kumpulan Pengurusan Saluran dan Pengalaman Pelanggan Pos Malaysia Berhad, Azmil Merican berkata, Pos Malaysia aktif menaik taraf perkhidmatan runcit melalui digitalisasi sekali gus membolehkan transaksi secara dalam talian dan kaunter.

 

"Perkhidmatan e-insurans adalah inisiatif terbaharu kami dalam menyediakan pengalaman yang terbaik kepada pelanggan kami.

 

"Dengan e-insurans Pos Malaysia, pembaharuan insurans boleh dibuat dengan mudah, senang dan tersedia pada bila-bila masa sahaja.

 

"Tidak lama lagi, pelanggan bakal memperoleh lebih banyak lagi perkhidmatan mudah alih Pos Malaysia termasuk pembiayaan, wasiat, kiriman wang dan lain-lain lagi," tambahnya.

 

Pelanggan Pos Malaysia boleh memuat turun aplikasi mudah alih Pos Malaysia di Google Play Store (Android), Apple App Store (iOS) dan Huawei AppGallery melalui carian 'Pos Malaysia'.

 

Bagi pengguna semasa pula, mereka perlu kemas kini aplikasi tersebut untuk mendapatkan versi terbaharu Pos Mobile App untuk menggunakan perkhidmatan e-insurance.- DagangNews.com