Positif dengan prospek MRCB bagi FY22, MIDF Research semak naik penarafan saham kepada 'beli' | DagangNews Skip to main content

Positif dengan prospek MRCB bagi FY22, MIDF Research semak naik penarafan saham kepada 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Jun - MIDF Research menyemak naik penarafan Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) kepada 'beli' berbanding 'neutral' sebelum ini dengan harga sasaran juga dinaikkan kepada 44 sen daripada 36 sen selepas kumpulan melaporkan prestasi kewangan suku pertama di luar jangkaan. 

 

Bagi suku berakhir 31 Mac 2022 itu, untung bersihnya melonjak 170% kepada RM14.03 juta daripada RM5.2 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan turut mencatatkan peningkatan 3 kali ganda kepada RM810.7 juta berbanding RM226.7 juta.

 

Prestasi yang bertambah baik itu adalah disebabkan konsolidasi penuh projek LRT3 dan sumbangan lebih tinggi daripada 2 projek pembangunan hartanah terbesar kumpulan, Sentral Suites dan TRIA 9 Seputeh.

 

Ini mendorong firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sejajar dengan prestasi suku seterusnya yang dijangka lebih kukuh. 

 

"Kami membuat perubahan kepada unjuran hasil dan keuntungan masing-masing kepada RM1.85 bilion dan RM75.5 juta. 

 

"Selain itu, hasil bagi FY23-FY24 juga disemak kepada RM1.67 bilion-RM1.8 bilion manakala keuntungan teras pula kepada RM68.1 juta-RM70.4 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

MIDF Research positif terhadap fokus MRCB tahun ini, untuk meningkatkan tahap tunainya yang akan menyaksikan ia menjadi lebih agresif dalam usahanya menjual unit hartanahnya yang tidak terjual.

 

Katanya, ketika ini nilai kontrak kumpulan berjumlah RM18.5 bilion, dapat memastikan projek dalam tangan yang stabil dalam tempoh jangka masa panjang.

 

"Kami juga menantikan pelancaran Taman Bersepadu Ipoh Raya pada minggu depan memandangkan MRCB mempelbagaikan perniagaan pembangunan perindustrian dan logistik, yang pada pandangan kami boleh mengubah landskap ekonomi Perak pada masa hadapan.

 

"Projek ini yang menjadi pembangunan hab logistik bersepadu mampan, akan mempelbagaikan profilnya daripada membangunkan komersial dan kediaman premium," jelasnya.

 

Namun, menurutnya, nilai pembangunan kasar (GDV) bagi fasa pertama projek berkenaan belum lagi dimuktamadkan setakat ini, tetapi MRCB memberi panduan ia mungkin melebihi RM1 bilion.

 

Setakat 9.20 pagi ini, harga saham MRCB menokok 0.5 sen atau 1.39% kepada 36.5 sen dengan 838,600 saham diniagakan. - DagangNews.com