Potongan cukai minyak sawit mentah lonjak permintaan import India | DagangNews Skip to main content

Potongan cukai minyak sawit mentah lonjak permintaan import India

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Nov.  -  Langkah India untuk mengurangkan cukai import sehingga 10% kepada 27.5% ke atas minyak sawit mentah (MSM) bakal meningkatkan permintaan produk berkenaan ke dalam negara tersebut. 

 

Ini terutamanya melibatkan import dari negara-negara di rantau ASEAN termasuk Malaysia. 

 

Bagaimanapun, perkembangan berkenaan merupakan berita negatif buat syarikat penyulingan MSM di Malaysia dan Indonesia. 

 

“Kami secara keseluruhannya positif terhadap perkembangan ini memandangkan ia membantu memulih semula syer pasaran minyak sawit daripada jumlah import minyak boleh dimakan di India yang menurun kepada 54% pada November 2019  hingga September 2020, daripada 64% sekitar November 2018 hingga September 2019,” kata CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Pada Jumaat lalu, kerajaan India mengumumkan pengurangan cukai import MSM yang kini lebih rendah berbanding minyak boleh dimakan lain di negara berkenaan.

 

Cukai import yang lebih rendah dapat melindungi pengguna di negara berkenaan daripada harga minyak boleh dimakan yang kian meningkat. 

 

Ini sekali gus dapat melonjak import minyak sawit India pada bulan-bulan mendatang memandangkan perkembangan berkenaan dapat mengurangkan harga minyak sawit lebih rendah di pasaran negara tersebut. 

 

“Selepas pengurangan cukai tersebut, perbezaan antara MSM dan minyak olein melebar kepada 17.5% daripada 7.5% sebelum ini. 

 

“Ini positif buat industri penyulingan minyak sawit India dan mungkin memberi manfaat kepada import MSM berbanding minyak sawit proses ke dalam India kerana cukai lebih rendah,” tambah CGS-CIMB.

 

India merupakan import terbesar pada tahun 2019, merangkumi 19% daripada jumlah import minyak sawit. - DagangNews.com